WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan Kash Patel, bekas pegawai Keselamatan Negara yang setia kepadanya, untuk mengetuai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Langkah itu dilihat sebagai usaha Trump untuk menggantikan Pengarah FBI, Christopher Wray, yang masih mempunyai tempoh perkhidmatan sehingga 2027.
Patel, 44, yang sebelum ini, pernah bertugas sebagai Pendakwa Raya Persekutuan, merupakan individu penuh kontroversi dalam pentadbiran Trump terdahulu.
Beliau lantang mengkritik FBI dan pernah mencadangkan pembubaran fungsi perisikan agensi tersebut serta pembersihan kakitangan yang tidak menyokong agenda Trump.
“Masalah terbesar FBI berpunca daripada unit risikan mereka. Saya akan memisahkan fungsi itu, menutup bangunan Hoover pada hari pertama, dan menjadikannya muzium tentang deep state.
“Kakitangan FBI perlu kembali kepada peranan asal mereka sebagai pegawai polis,” kata Patel dalam satu wawancara, September lalu.
Langkah mencalonkan Patel menandakan kesediaan Trump untuk melaksanakan ancaman memecat Wray, walaupun beliau sendiri melantik Wray pada 2017 selepas memecat James Comey.
Namun, Wray menjadi sasaran kemarahan penyokong Trump selepas beberapa tindakan kontroversi semasa mengetuai FBI, termasuk serbuan ke atas Mar-a-Lago, kediaman Trump, bagi mencari dokumen sulit.
Trump juga dikritik kerana campur tangan dalam siasatan mengenai ancaman terhadap lembaga sekolah tempatan, serta pengawasan terhadap arahan Peguam Negara, Merrick Garland untuk melindungi keselamatan pihak berkuasa pendidikan daripada ancaman ganas.
Cadangan pencalonan Patel dijangka menerima tentangan daripada ahli Demokrat di Senat, malah mungkin sebahagian Republikan.
Namun, Patel mendapat sokongan daripada beberapa tokoh Republikan seperti Peguam Negara Texas, Ken Paxton. – AGENSI