Trump ancam ambil alih kawalan di Terusan Panama

Trump ancam ambil alih kawalan di Terusan Panama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANAMA CITY: Presiden Panama, Jose Raul Mulino menangkis ancaman yang dibuat oleh Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengambil alih semula kawalan ke atas Terusan Panama.  

Trump membuat dakwaan kononnya berlaku layanan tidak adil terhadap kapal-kapal Amerika.

“Setiap meter persegi Terusan Panama dan kawasan sekitarnya adalah milik Panama dan akan kekal milik Panama,” tegas Mulino dalam video yang dimuat naik dalam platform X. 

Walaupun tidak menyebut nama Trump secara langsung, kenyataan Mulino itu dibuat sehari selepas Trump meluahkan rasa tidak puas hati terhadap terusan tersebut di platform Truth Social.

“Angkatan Laut dan Perdagangan kami telah dilayan dengan cara yang tidak adil dan tidak bijaksana. Caj yang dikenakan oleh Panama adalah keterlaluan,” kata Trump.

Trump turut menyuarakan kebimbangan terhadap pengaruh China yang semakin meningkat di sekitar terusan itu, yang disifatkan sebagai ancaman kepada kepentingan AS.

Ini kerana, jelasnya, perniagaan AS bergantung kepada laluan tersebut untuk mengangkut barangan antara Lautan Atlantik dan Pasifik.

“Pengurusan terusan itu hanya untuk Panama, bukan untuk China atau mana-mana pihak lain,” tambah Trump. 

Terusan Panama yang siap dibina oleh AS pada 1914, diserahkan kepada Panama sepenuhnya pada 1999 menerusi perjanjian tahun 1977 yang ditandatangani oleh Presiden AS ketika itu, Jimmy Carter.

Trump memberi amaran jika Panama gagal memastikan operasi terusan berjalan dengan ‘selamat, cekap dan boleh dipercayai,’ AS akan menuntut Terusan Panama dikembalikan sepenuhnya tanpa syarat.

Sebagai respons balas, Mulino menolak dakwaan Trump dengan menyatakan harapan untuk menjalin hubungan yang baik dan saling menghormati dengan pentadbiran baharu itu.

“Terusan ini tidak mempunyai kawalan langsung atau tidak langsung dari China, Kesatuan Eropah, AS atau mana-mana kuasa lain,” jelas Mulino. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya