TOKYO : Tokyo bakal menyediakan penjagaan harian percuma untuk semua kanak-kanak prasekolah bermula September depan.
Gabenor, Yuriko Koike mengumumkan inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha menangani kadar kelahiran rendah di Jepun.
Langkah itu bertujuan mengurangkan beban kewangan keluarga dengan memperluaskan dasar penjagaan harian percuma yang sebelum ini hanya terpakai kepada anak kedua dan seterusnya.
“Jepun sedang berdepan krisis penurunan jumlah kanak-kanak yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir,” kata Koike ketika mengumumkan rancangan tersebut minggu ini.
Beliau menekankan negara itu tidak boleh berlengah dalam menangani isu tersebut, selari amaran Perdana Menteri dan pegawai-pegawai lain tentang krisis demografi yang semakin meruncing.
Media Jepun melaporkan dasar yang dilaksanakan di Tokyo, sebuah bandar raya terbesar di dunia dengan populasi seramai 14 juta orang, adalah inisiatif pertama seumpamanya di peringkat wilayah di Jepun.
Ketika ini, penjagaan harian awam hanya tersedia kepada ibu bapa yang bekerja.
Bagaimanapun, Kerajaan Pusat sedang merancang untuk memperluaskan akses kepada semua isi rumah tanpa mengira status pekerjaan.
Koike juga baru-baru ini mencadangkan opsyen kerja empat hari seminggu untuk kakitangan kerajaan Tokyo, sebagai sebahagian daripada usaha nasional untuk menggalakkan penduduk berkeluarga.
Jepun kini memiliki populasi kedua tertua di dunia selepas Monaco dan dengan peraturan imigresen yang agak ketat, negara itu berdepan masalah kekurangan tenaga kerja yang semakin membimbangkan. -AGENSI