BERLIN : Seramai tiga individu ditahan di Jerman kerana disyaki merancang serangan ‘berkaitan keganasan besar’, menjelang sambutan Hari Krismas.
Serbuan dilakukan Ahad lalu, di kediaman dua beradik warga Jerman-Lubnan berusia 15 dan 20 tahun di bandar Mannheim, serta seorang lelaki Jerman-Turki berusia 22 tahun di Hochtaunus, Hessen.
Pihak berkuasa turut merampas sebuah senapang serangan bersama peluru, yang ditemukan di rumah lelaki Jerman-Turki itu.
Rampasan lain melibatkan beberapa pisau, topeng balaclava serta telefon bimbit semasa operasi tersebut dan ketiga-tiga suspek ditahan reman.
Laporan media Jerman mendakwa mereka merancang untuk menyerang pasar Krismas di Frankfurt atau Mannheim.
Pendakwa Raya dan polis tempatan dalam kenyataan bersama menyatakan tindakan yang dirancang itu boleh ‘mengancam keselamatan negara’ tanpa mendedahkan butiran lanjut.
Jerman sebelum ini berdepan beberapa siri serangan dan plot keganasan serta sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.
Menurut pihak berkuasa, dua beradik di Mannheim itu mempunyai ‘ideologi agama yang kuat serta simpati mendalam’ terhadap kumpulan Daesh, dan telah membuat persiapan konkrit untuk melancarkan serangan.
Jerman sebelum ini turut menyaksikan beberapa siri serangan menggunakan pisau.
Ogos lalu, tiga orang terbunuh dan lapan cedera dalam insiden tikaman di sebuah festival jalanan di Solingen, barat Jerman.
Polis menahan seorang suspek warga Syria yang disahkan melakukan serangan itu atas nama Daesh.
Kejatuhan Presiden Bashar al-Assad turut menimbulkan kebimbangan kemungkinan kebangkitan semula Daesh dengan masyarakat antarabangsa masih berhati-hati terhadap prospek kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), yang mengetuai kumpulan pejuang menggulingkan Assad, untuk mengambil alih pemerintahan di Syria.-AGENSI