RANAU: Tiga pekerja kontrak maut akibat terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja-kerja pemasangan panel solar di kawasan Jabatan Kerja Raya (JKR), hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, tiga mangsa berusia antara 25 hingga 54 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superitendan Ediansah Edal berkata, tiga lelaki yang maut itu terdiri daripada seorang lelaki tempatan berbangsa Cina dan dua lelaki warga asing.
“Ketiga-tiga pekerja kontrak ini menjalankan kerja-kerja pemasangan panel solar dengan menggunakan scaffolding setinggi 12 meter, manakala seorang lagi pekerja berada di bawah.
“Semasa pemasangan, panel solar telah menyentuh kabel Sabah Eletricity (SE) yang dikategorikan sebagai tinggi voltan 11,000 kilovolt,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seorang pekerja kontrak yang berada di bawah scaffolding tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd. Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden renjatan elektrik itu pada pukul 10.46 pagi dan sepasukan tujuh pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, tiga mangsa terkena renjatan elektrik meninggal dunia di lokasi kejadian disahkan oleh pegawai Kementerian Kesihatan manakala, seorang mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kata beliau, pasukan Bomba bertindak mengalihkan mangsa ke tempat yang selamat dan mayat mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN