Thailand cabaran besar Harimau Malaya

Thailand cabaran besar Harimau Malaya

Pau Marti Vicente (tengah) memberi arahan kepada pemain-pemain Harimau Malaya pada sesi latihan di Bangkok, semalam.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aksi menentang Thailand dalam perlawanan ketiga Piala ASEAN 2024 di Stadium Rajamangala malam ini menjadi satu cabaran besar buat skuad kendalian Pau Marti Vicente.

Tidak keterlaluan jika dikatakan aksi menentang Gajah Perang itu juga menjadi penentu kepada hala tuju skuad kebangsaan dalam saingan Piala ASEAN tahun ini selepas permulaan tidak menentu.

Diikat 2-2 oleh Kemboja dalam perlawanan pertama dan berhempas pulas untuk menumpaskan pasukan paling kerdil dalam Kumpulan A iaitu Timor Leste 2-1 di gelanggang sendiri menceritakan sisi sebenar Harimau Malaya.

Berbeza dengan Thailand yang juga juara bertahan, mereka tampil dalam kejohanan kali ini dengan skuad terbaik dan situasi itu jelas terbukti tetika anak-anak buah Masatada Ishii membelasah Timor Leste 10-0 dalam aksi pertama.

Lebih memburukkan keadaan, Harimau Malaya terbang ke Bangkok, kelmarin tanpa lima tonggak utama iaitu Syafiq Ahmad yang ditimpa kecederaan selain Daniel Ting, Darren Lock, Stuart Wilkin dan Dominic Tan pulang ke pangkuan Sabah FC.

Menurut Pau Marti, selain Syafiq, seorang lagi pemain turut mengalami kecederaan iaitu Fergus Tierney yang berdepan masalah di bahagian buku lali ketika membantu Harimau Malaya menumpaskan Timor Leste.

“Untuk aksi menentang Thailand, saya yakin pemain akan buat yang terbaik. Dengan situasi ketika ini kami akan cuba dapatkan skuad yang terbaik. Kami akan buat keputusan nanti (siapa yang akan diturunkan),” kata Pau Marti.

Menurut Pau Marti, selain isu kecederaan, jadual perlawanan yang padat serta tekanan mental dan fizikal yang dihadapi pemain juga mendatangkan masalah kepada pasukan yang perlu menyiapkan pasukan dalam waktu singkat.

“Ini kali pertama kami bermain bersama, kami hanya mempunyai dua atau tiga hari untuk persiapan. Selepas perlawanan menentang Kemboja, kami tidak berlatih dengan betul, kami hanya berehat dan kembali semula untuk perlawanan.

“Selepas itu kami akan terbang ke Bangkok untuk satu lagi perlawanan,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu yang mahu melakar kejayaan bersama Harimau Malaya sebelum meninggalkan pasukan selepas Piala ASEAN 2024 berakhir.

Dalam pada itu, Pau Marti turut menyeru penyokong untuk turun membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan terakhir menentang Singapura pada 20 Disember ini bagi memberi sokongan dan motivasi tambahan kepada pasukan.

Terdahulu,kemenangan 3-2 ke atas Timor Leste menyaksikan Malaysia kini menerajui Kumpulan A dengan empat mata, manakala Thailand di tangga kedua dengan tiga mata.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya