PETALING JAYA: Kegagalan melangkah ke separuh akhir Piala ASEAN 2024 menyaksikan tempoh perkhidmatan Pau Marti Vicente bersama Harimau Malaya berakhir dengan episod ‘duka’.
Bagaimanapun, tempoh hampir dua tahun jurulatih kelahiran Sepanyol bersama Harimau Malaya sejak menjadi penolong jurulatih pada era Kim Pan Gon perlu diakui banyak membawa perubahan.
Malah, Pau Marti yang dilantik mengemudi Harimau Malaya selepas Pan Gon meletak jawatan berjaya menamatkan penantian 11 tahun Malaysia untuk menjulang Piala Pestabola Merdeka pada September, lalu.
Selepas ini, Pau Marti tidak akan bersama Harimau Malaya selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan kehadiran jurulatih baharu, Peter Cklamovski yang bakal memulakan tugasnya, 1 Januari nanti.
“Malaysia akan menjadi pasukan kebangsaan kegemaran saya selepas ini. Jadi saya akan terus menyokong mereka dan saya percaya pasukan ini mampu mencapai apa yang mereka inginkan.
“Saya gembira dengan pengalaman di sini meskipun terpaksa berhijrah beribu batu dan saya mendapat ramai kawan yang akan saya kenang selamanya.
“Banyak memori manis bersama skuad kebangsaan, hanya satu memori yang buruk apabila saya terlepas perlawanan menentang Oman kerana berada di hospital ketika itu,” kata Pau Marti.
Dengan berakhirnya era Pau Marti, fokus kini terarah kepada Cklamovski yang akan membawa Harimau Malaya ke tahap seterusnya dalam bola sepak antarabangsa.-UTUSAN