MANILA: Tentera Filipina mengumumkan pihaknya merancang untuk memperoleh sistem peluru berpandu Typhon dari Amerika Syarikat (AS) bagi melindungi kepentingan maritim negara itu, yang sebahagiannya bertindih dengan kuasa serantau, China.
Sistem peluru berpandu jarak sederhana ini telah dikerahkan oleh Tentera AS di utara Filipina, awal tahun ini untuk latihan ketenteraan bersama sekutu lama mereka.
Namun keputusan diambil untuk meninggalkannya di lokasi tersebut, meskipun mendapat kritikan keras dari Beijing yang menganggap kehadiran sistem itu sebagai ancaman kepada kestabilan Asia.
Sejak itu, sistem berkenaan digunakan oleh pasukan Filipina untuk melatih operasi mereka.
“Kami melihat kebolehlaksanaan dan fungsinya dalam konsep pelaksanaan pertahanan kepulauan kami,”
“Saya dengan gembiranya melaporkan tentera kami sedang membangunkan keupayaan ini demi melindungi kedaulatan negara,” kata Ketua Tentera Darat Filipina, Leftenan Jeneral Roy Galido dalam sidang akhbar.
Berdasarkan peraturan, proses untuk memperoleh sistem senjata baharu oleh tentera Filipina mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun dari peringkat perancangan, kata Galido.
Malah, katanya, ia belum dimasukkan dalam bajet 2025.
Pelancar peluru berpandu berasaskan darat yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin untuk Tentera AS, mempunyai jarak 480 kilometer walaupun versi dengan jarak yang lebih panjang sedang dibangunkan.
Kehadiran sistem peluru berpandu AS di Filipina menimbulkan kemarahan Beijing, ketika pasukannya terlibat dalam konfrontasi yang semakin memuncak dengan Filipina berhubung terumbu dan perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.
Jun lalu, Menteri Pertahanan China, Dong Jun memberi amaran penyebaran Typhon akan ‘merosakkan keselamatan dan kestabilan serantau dengan teruk.’ -AGENSI