BRUSSELS: Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas memberi amaran mengenai risiko keganasan dan kebangkitan semula ekstremis di Syria, sambil menyeru kuasa antarabangsa untuk membantu peralihan damai selepas kejatuhan Bashar al-Assad.
Beliau turut menekankan negara-negara Barat perlu bekerjasama dengan pemain serantau seperti negara-negara Teluk, Turkiye, Lubnan, Iraq dan Israel untuk menangani cabaran bersama.
“Kita mesti mengelak pengulangan senario mengerikan seperti di Iraq, Libya dan Afghanistan.
“Peranan kita sebagai rakan antarabangsa adalah membantu rakyat Syria menyusun kembali masyarakat yang telah hancur,” kata Kallas semasa sesi pendengaran dengan ahli Parlimen EU.
Kallas turut membangkitkan persoalan sama ada kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), yang mengetuai penggulingan Presiden Syria dan pernah berakar umbi dalam al-Qaeda, telah berubah.
Menurutnya, kejatuhan Assad adalah ‘tamparan hebat’ kepada sekutu utamanya, Russia dan Iran.
“Mereka kini semakin lemah, terganggu dan terbeban di pelbagai medan lain di Asia Barat yang lebih luas serta di Ukraine,” jelasnya.
Kallas menyatakan sokongannya terhadap usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memimpin peralihan yang ‘teratur, damai, dan inklusif’ di Syria.
Tambah Kallas, Syria memerlukan proses pemulihan yang inklusif, melibatkan semua golongan termasuk minoriti, wanita, dan kanak-kanak perempuan.
EU juga memantau keadaan kemanusiaan di Syria untuk menilai sama ada lebih banyak bantuan diperlukan serta menyokong usaha untuk memastikan kerajaan Assad bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukan. -AGENSI