DAMSYIK : Kerajaan Syria melantik Menteri Luar dan Pertahanan baharu dalam usaha membina hubungan antarabangsa selepas dua minggu rejim Bashar al-Assad digulingkan.
Agensi berita rasmi negara, SANA melaporkan Komando Umum, Ahmad Al-Sharaa yang kini memerintah Syria menamakan Asaad Hassan al-Shibani sebagai Menteri Luar.
Sumber dalam pentadbiran baharu itu memberitahu agensi berita Reuters langkah tersebut diambil bagi memenuhi aspirasi rakyat Syria untuk menjalin hubungan antarabangsa yang dapat membawa keamanan dan kestabilan.
Murhaf Abu Qasra pula dilantik sebagai Menteri Pertahanan dalam pembentukan kerajaan sementara.
Abu Qasra, yang dikenali dengan gelaran perang ‘Abu Hassan 600’, merupakan tokoh kanan kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), yang mengetuai pasukan pembangkang menggulingkan Bashar.
Setakat ini, seramai 14 menteri telah dilantik, dan kesemuanya adalah sekutu rapat atau kenalan al-Sharaa.
Al-Sharaa, yang kini menjadi pemimpin de facto Syria, mula berhubung dengan delegasi asing, termasuk wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Diplomat Kanan Amerika Syarikat.
Menurutnya, fokus utama adalah menumpukan usaha pembinaan semula dan pembangunan ekonomi, serta mengelak daripada terlibat dalam konflik baharu.
Pada 8 Disember lalu, pejuang pembangkang Syria berjaya menguasai Damsyik, sehingga memaksa Bashar melarikan diri selepas lebih 13 tahun mencetuskan peperangan sekaligus menamatkan pemerintahan berpanjangan keluarganya.
Kumpulan yang diketuai al-Sharaa kini menubuhkan kerajaan sementara selama tiga bulan.
Washington sebelum ini melabelkan al-Sharaa sebagai ‘pengganas’ pada 2013, kerana mendakwa beliau ditugaskan oleh al-Qaeda di Iraq untuk menggulingkan Bashar.
Namun, Jumaat lalu, AS memaklumkan ganjaran sebanyak AS$10 juta (RM46 juta) untuk menangkap pemimpin itu akan ditarik balik. -AGENSI