KUANTAN: Sri Pahang FC tetap akan menggunakan khidmat Sergio Aguero untuk aksi menentang Perak FC dalam aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia malam ini, biarpun pemain itu baharu selesai tugasan bersama Harimau Malaya.
Kelmarin, pemain kelahiran Argentina itu menjadi tonggak utama skuad kendalian Pau Marti Vicente ketika terikat 0-0 dengan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam aksi terkahir Kumpulan A, Piala ASEAN 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Sri Pahang, Datuk Muhamed Suffian Awang berkata, jadual yang padat termasuk tugasan untuk negara tidak akan menghalang untuk Aguero memberikan yang terbaik untuk pasukan.
“Saya percaya mereka akan memberi komitmen terbaik walaupun terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang agak padat. Saya juga percaya Fandi (Ahmad) mempunyai perancangan terbaik untuk berdepan perak,” katanya.
Dalam aksi malam ini di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Sri Pahang mempunyai kelebihan selepas menang 1-0 ke atas Perak dalam aksi pertama yang mana, ketika itu Aguero turut diturunkan dalam kesebelasan utama.
Selain Aguero, Stefano Brundo sudah pasti menambah sengat skuad Sri Pahang yang akan membentuk gandingan hebat bersama Azam Azih dan Manual Hidalgo untuk memastikan slot separuh akhir Piala Malaysia menjadi milik mereka.
Dalam masa yang sama, ketajaman penyudah Kpah Sherman dan Mykola Ahapov pastinya dituntut untuk merobek gawang skuad Seladang selain barisan pertahanan perlu berdisiplin untuk menahan segala asakan pelawat.
Bagaimanapun, apa yang menjadi kebimbangan ialah, Sri Pahang terpaksa mengunakan khidmat Penjaga gol kedua, Azfar Arif Mohd Sukri untuk saingan suku akhir kedua Piala Malaysia selepas penjaga gol utama, Zarif Irfan Hashimuddin digantung perlawanan selepas menerima kad merah dalam aksi sebelum ini.-UTUSAN