TOKYO: Firma Space One yang berhasrat menjadi syarikat swasta pertama Jepun melancarkan satelit ke orbit menangguhkan pelancaran roketnya untuk hari kedua berturut-turut pada Ahad, selepas percubaan pertama berakhir dengan letupan di udara.
Syarikat yang berpangkalan di Tokyo itu pada mulanya merancang pelancaran roket Kairos pada pukul 11 pagi Sabtu (waktu tempatan), tetapi terpaksa ditangguhkan selama 24 jam akibat angin kencang.
Unit Kairos No. 2, yang membawa lima satelit kecil, dijadualkan berlepas dari tapak pelepasan Spaceport Kii Space One di Kushimoto, wilayah Wakayama.
Pelancaran itu ditangguhkan sekali lagi semalam, disebabkan oleh keadaan cuaca, menurut media tempatan termasuk penyiar negara, NHK.
Mac lalu, roket Kairos yang menggunakan bahan api pepejal, membawa satelit ujian kecil milik kerajaan berjaya dilancarkan buat kali pertama dari Spaceport Kii.
Namun, beberapa saat kemudian, masalah teknikal dikesan dan perintah pemusnahan sendiri dihantar ke roket 18 meter itu.
Roket tersebut meletup dan menyebabkan kepulan asap putih di di sekitar kawasan pegunungan terpencil.
Dalam percubaan kedua, roket itu sepatutnya membawa lima satelit termasuk satu daripada Agensi Angkasa Taiwan dan beberapa lagi yang direka oleh pelajar Jepun serta usaha niaga korporat.
Space One ditubuhkan pada 2018 oleh beberapa syarikat besar termasuk Canon Electronics, IHI Aerospace, firma pembinaan Shimizu dan Bank Pembangunan Jepun yang dikendalikan oleh kerajaan.
Syarikat itu berharap dapat menempatkan kedudukan dalam industri antarabangsa yang kompetitif dengan melancarkan roket kecil secara cepat, untuk perniagaan yang ingin meletakkan satelit ke angkasa.– AFP