PETALING JAYA: England bakal menjadi penghalang terbesar Malaysia bagi memburu slot ke separuh akhir, selepas kedua-dua pasukan bertembung pada peringkat lapan terbaik Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia di Hong Kong, hari ini.
Selepas muncul juara Kumpulan E (round robin), skuad wanita negara diundi bertemu Jepun pada pusingan kedua dan mereka diberi tentangan sengit sebelum beroleh kemenangan 2-1 ke atas Jepun, semalam.
Dengan susunan giliran 1-3-2, ini bermakna pemain No. 10 dunia, S. Sivasangari terlebih dahulu masuk ke gelanggang dan anak jati Kedah itu yang sepatutnya menghadiahkan mata pertama gagal apabila tewas mengejut di tangan pemain ke-12 dunia, Satomi Watanabe 3-11, 6-11, 6-11 dalam masa 23 minit.
Ketinggalan 0-1, Malaysia yang meletakkan wakil termuda, Aira Azman sebagai pertaruhan bagi memburu mata penyamaan berjaya melaksanakan misinya dengan baik selepas mengetepikan Mahiro Nishio 11-5, 11-7, 11-8 dalam masa 20 minit.
Pemain No. 17 dunia, Rachel Arnold yang menjadi pertaruhan skuad kebangsaan untuk mengutip mata kemenangan tidak berdepan masalah menundukkan Akari Midorikawa 11-6, 11-3, 11-6 dalam masa 20 minit.
Rachel ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir berkata, pasukan bermain baik bertemu Jepun, walaupun perlu bangkit daripada ketinggalan.
“Kita sering bertemu Jepun dalam kejohanan berpasukan dan suku akhir kita akan berdepan England, mereka sebuah pasukan yang kuat, saya tidak sabar bertemu mereka,” katanya.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa pasukan lelaki Malaysia apabila mereka tumbang kepada India 2-1 pada peringkat 16 terbaik.
Pemain No. 13 dunia, Ng Eain Yow menjadi wakil tunggal negara yang meraih kemenangan apabila anak jati Kuala Lumpur itu tidak berdepan masalah menundukkan Abhay Singh 13-11, 11-9, 11-5 dalam masa 40 minit.
Dua lagi rakan sepasukannya, Mohd Syafiq Kamal tumpas di tangan Veer Chotrani 8-11, 6-11, 5-11, manakala, Sanjay Jeeva kalah kepada Velavan Senthilkumar 8-11, 11-7, 3-11, 4-11.-UTUSAN