PARIS: Perancis kini dalam misi mencari calon Perdana Menteri baharu yang paling bersesuaian mengisi kekosongan jawatan itu, selepas penyandangnya, Michel Barnier disingkir menerusi undi tidak percaya.
Penyingkiran Perdana Menteri yang kali pertama berlaku sejak 1962 itu, sekali gus mencetuskan ketidakstabilan politik di negara itu.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron berhasrat untuk melantik Perdana Menteri baharu dengan cepat, menurut beberapa sumber yang memberitahu AFP.
Sumber yang rapat dengan Macron mengatakan Presiden, yang biasanya mengambil masa dalam pelantikan, kini ‘tiada pilihan’ selain menamakan Perdana Menteri baharu dalam tempoh 24 jam.
Macron juga menegaskan tidak akan meletakkan jawatannya.
Beliau masih berkuasa sebagai Presiden Perancis pada masa ini, sejak mula menjawat jawatan tersebut pada 14 Mei 2017 dan dipilih semula untuk penggal kedua pada April 2022.
Penggal kedua beliau akan berakhir pada 2027, mengikut had masa jawatan Presiden di Perancis.
Pencarian Perdana Menteri Perancis baharu kini terhad, dengan beberapa calon yang berkemungkinan besar mengisi kekosongan itu, termasuk Menteri Pertahanan, Sebastian Lecornu dan sekutu tengah, Francois Bayrou.
Di pihak sayap kiri, bekas Perdana Menteri sosialis dan Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve juga berpotensi menjadi calon.
Peletakan jawatan Barnier menandakan kali kelima Macron terpaksa menggantikan tugas Perdana Menteri sejak mengambil alih kuasa pada 2017, dengan setiap penggantinya berkhidmat dalam tempoh yang semakin singkat.
Memandangkan kegawatan politik, calon baharu berdepan kemungkinan berkhidmat lebih pendek daripada Barnier, yang tempoh perkhidmatannya adalah yang terpendek dalam mana-mana pentadbiran sejak Republik Kelima bermula pada 1958.
Ketua Parti Berhaluan Kanan Perancis, National Rally, Marine Le Pen berkata, pihaknya akan memberi peluang kepada Perdana Menteri baharu ‘bekerja’ dan membantu mencipta belanjawan yang boleh diterima oleh semua pihak.
Ketua Wakil-Wakil Kanan di Parlimen, Laurent Wauquiez meletakkan tanggungjawab undi tidak percaya kepada pihak parti sayap kanan dan kiri, kerana membawa negara ke kancah ketidakstabilan.
Sementara itu, Macron dijadualkan untuk menjadi tuan rumah bagi acara antarabangsa berskala besar, Sabtu ini, dengan pembukaan semula Katedral Notre-Dame selepas kebakaran pada 2019.
Acara itu akan dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk Donald Trump, menerusi lawatan luar negara pertamanya sejak dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat baharu.
Terdahulu, Ahli Parlimen dari sayap kanan dan sayap kiri dengan seramai 331 daripada 577 orang, menzahirkan ketidakpercayaan terhadap pemimpin tersebut.
Undian itu melebihi keperluan minimum untuk menggulingkan Barnier sebanyak 43 undi.
KERAJAAN SEMENTARA
Krisis dijangka bergolak dengan pasaran yang tidak menentu dan Perancis bersiap sedia menghadapi mogok sektor awam akibat ancaman pemotongan menerusi belanjawan negara.
Konflik yang berlaku juga berisiko menyebabkan sekolah-sekolah ditutup dan mengganggu trafik udara dan perjalanan kereta api.
Kesatuan sekerja menyeru penjawat awam, termasuk guru dan pengawal trafik udara, untuk menyertai mogok hari ini berikutan langkah pemotongan bajet oleh kerajaan.
Perancis juga berisiko menamatkan tahun ini tanpa kerajaan yang stabil atau belanjawan 2025, walaupun Perlembagaan membenarkan langkah-langkah khas yang boleh mengelakkan kerajaan tidak berfungsi.
Mana-mana Perdana Menteri baharu yang dilantik oleh Presiden akan menghadapi cabaran yang sama seperti Barnier dalam mendapatkan undi bagi rang undang-undang, termasuk belanjawan 2025, daripada Parlimen yang terpecah.
Sebagai alternatif, Macron boleh meminta Barnier dan menteri-menterinya untuk kekal sementara dalam kapasiti penjaga sementara, bagi memberi ruang untuk beliau mengenal pasti Perdana Menteri yang dapat menarik sokongan merentasi parti untuk meluluskan undang-undang.
Kerajaan sementara boleh mencadangkan undang-undang kecemasan untuk memasukkan peruntukan cukai dan perbelanjaan dalam Belanjawan 2024 ke tahun depan atau menggunakan kuasa khas untuk meluluskan draf Belanjawan 2025 melalui dekri.-AFP