Shahrol Azral beruntung sebab saya PM - Najib

Shahrol Azral beruntung sebab saya PM – Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Bukankah dia bertuah kerana saya orang yang dituduh? Sebab kalau saya bukan bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, saya percaya dia yang duduk di kandang tertuduh dan bukannya kandang saksi.”

Luahan tersebut dinyatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung tindakan yang dibuat oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi pendakwaan itu.

Terdahulu, bekas Presiden UMNO itu menyatakan beliau tidak boleh dipersalahkan atas `kehilangan’ AS$1 bilion bagi projek usahasama di antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI) sebaliknya individu yang bertanggungjawab ialah Shahrol Azral.

“Shahrol Azral tidak pernah diberikan kuasa atau diarahkan untuk memeterai perjanjian usaha sama dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited (dan) ini bertentangan langsung dengan resolusi Lembaga (pengarah) dan arahan yang didakwa diberikan oleh saya, (selaku) Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat.

“Penjelasan Shahrol berhubung pemindahan AS$1 bilion yang melanggar arahan Lembaga Pengarah adalah sesuatu yang tidak boleh diterima namun diberikan kredibiliti tetapi bukan kerana merit tetapi kerana ia memenuhi kehendak agenda politik terhadap saya.

“Dia (Shahrol) berselindung di sebalik pelbagai alasan yang kemudiannya terlepas daripada (dipertanggungjawabkan) kerugian AS$1 bilion agar dia dilihat sebagai seorang saksi yang boleh dipercayai, mungkin seorang saksi contoh dengan piawaian tinggi dalam kes terhadap ahli politik seperti saya,” kata Najib.

Pada 21 Oktober 2019, Shahrol Azral ketika memberi keterangan menyatakan pelaburan usaha sama di antara 1MDB dan PSI telah meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta.

Ia berpunca daripada pemindahan dana yang dibuat 1MDB kepada Good Star Ltd. iaitu syarikat yang dikatakan milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Selain itu, Najib menyatakan berdasarkan dokumen yang dikemukakan di mahkamah, beliau mendapat tahu lima hari selepas AS$700 juta dipindahkan tanpa kebenaran Lembaga Pengarah 1MDB, Shahrol Azral dan bekas Pengarah Eksekutif, Casey Tang memindahkan dana itu ke Good Star.

Beliau berkata daripada jumlah itu, Tarek Obaid menerima AS$85 juta daripada Jho Low dan tidak lama selepas itu, pengarah PSI Tarek Obaid memasukkan AS$33 juta kepada Ketua Pegawai Pelaburan PSI, Patrick Mahony.

“Saya juga difahamkan bahawa pada Januari 2010, Jho Low telah memasukkan AS$68 juta kepada Tarek. Daripada bukti itu, menunjukkan Jho Low bersama pengurusan 1MDB khususnya Datuk Shahrol dan Casey Tang bersekongkol dengan Tarek Obaid dan Patrick Mahoney untuk menyeleweng AS$700 juta daripada 1MDB.

“Daripada AS$700 juta, Tarek Obaid menerima AS$120 juta, Patrick Mahoney menerima AS$33 juta dan Jho Low mengambil baki AS$547 juta untuk dirinya sendiri,” katanya.

Najib berkata demikian ketika menyambung membaca penyataan saksinya setebal 525 muka surat pada hari ketiga beliau membela diri atas atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya