SEOUL: Korea Selatan segera menyediakan kecairan yang mencukupi untuk menyokong pasaran kewangannya selepas negara itu digemparkan dengan dekri tentera singkat oleh Presiden, Yoon Suk Yeol.
Ekuiti merosot lebih dua peratus di Seoul dan won pada mulanya menjunam ke paras terendah berbanding dolar selepas langkah dramatik tersebut mengejutkan peniaga yang sudah lama bimbang dengan keadaan ekonomi ketiga terbesar di Asia itu.
Dalam usaha untuk mengehadkan kesan daripada krisis, bank pusat negara dan kementerian kewangan bergerak untuk meyakinkan pasaran.
“Seperti yang diumumkan bersama kerajaan, ia telah memutuskan untuk membekalkan kecairan yang mencukupi buat sementara waktu sehingga pasaran kewangan dan pertukaran asing stabil,” kata Bank of Korea.
Ia menambah bahawa julat sekuriti yang layak untuk urus niaga (repo) dan institusi sasaran akan turut diperluaskan.
Timbalan Perdana Menteri, Choi Sang Mok yang juga Menteri Ekonomi dan Kewangan berkata, pihak berkuasa kewangan akan memaklumkan kepada rakan kongsi antarabangsa tentang perkembangannya.
“Untuk mengurangkan kebimbangan mengenai keadaan ekonomi, kami akan berkomunikasi rapat dengan agensi penarafan kredit antarabangsa, negara utama seperti Amerika Syarikat (AS), organisasi ekonomi domestik dan pasaran kewangan untuk berkongsi situasi itu.
“Selain itu, kami akan mengendalikan pasukan petugas pemeriksaan keadaan ekonomi dan kewangan 24 jam untuk mengendalikan sistem pemantauan masa nyata bagi mengelakkan kejutan ekonomi masa nyata.
“Kami juga akan memantau secara menyeluruh dengan organisasi berkaitan untuk mengelakkan sebarang gangguan dalam eksport,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan juga akan melakukan yang terbaik untuk memastikan ketidaktentuan yang dihadapi ekonomi negara itu dapat diselesaikan dengan cepat.
Suk Yeol membuat pengumuman dekri tentera mengejut kelmarin untuk melindungi Korea Selatan daripada ancaman yang ditimbulkan oleh tentera komunis Korea Utara dan menghapuskan unsur-unsur anti-negara yang merampas kebebasan serta kebahagiaan rakyat.
Bagaimanapun, beliau menarik balik keputusan itu enam jam kemudian apabila penggubal undang-undang mengundi untuk menentang pengisytiharan tersebut.
Beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun dan kesatuan buruh terbesar negara itu melancarkan mogok umum tanpa had sehingga Suk Yeol meletak jawatan.
Kedutaan AS menggesa rakyat di Korea Selatan untuk mengelakkan kawasan di mana protes sedang berlaku.
Beberapa majikan utama termasuk Naver Corp dan LG Electronics Inc turut menasihatkan kakitangan untuk bekerja dari rumah.
Penganalisis memberi amaran, walaupun pusingan U membantu meredakan peristiwa luar biasa malam itu, Seoul masih berpotensi berdepan kegawatan ekonomi yang lebih buruk ketika seluruh dunia bimbang dengan impak dasar perdagangan baharu Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang akan mengambil alih Rumah Putih bulan depan.
“Dari perspektif makro, Korea Selatan sudah pun menjadi salah satu negara yang lebih terdedah kepada kesan tarif yang dicadangkan Trump.
“Perkembangan terbaharu ini boleh meningkatkan beberapa premium risiko lanjut pada mata wang sekurang-kurangnya sehingga kami mendapat kejelasan mengenai kestabilan politik,” kata Penganalisis mata wang kanan Bank MUFG, Michael Wan.-AFP