MOSCOW: Russia memperkukuhkan senjata balistiknya dengan sistem peluru berpandu strategik baharu, merancang pelancaran jarak maksimum dan mungkin meningkatkan ujian sebagai tindak balas terhadap ancaman luar yang semakin meningkat.
Komander Pasukan Peluru Berpandu Strategik Russia, Sergei Karakayev berkata, negara itu merancang ujian pelancaran jarak maksimum sebagai sebahagian daripada pengujian sistem baharu.
“Dari segi jarak, tiada tempat yang tidak dapat dicapai oleh peluru berpandu kami,” kata agensi berita Russia, RIA, yang memetik kenyataan Karakayev dalam akhbar rasmi Kementerian Pertahanan, Krasnaya Zvezda.
Beliau menegaskan, Russia berkemungkinan meningkatkan kekerapan ujian senjata peluru berpandu canggihnya jika ancaman luar berkembang.
Buat pertama kalinya secara terbuka, Karakayev mengesahkan Russia sedang membangun sistem peluru berpandu balistik antara benua baharu, Osina.
Beliau berkata, pengenalan kepada pertempuran Osina dan beberapa sistem peluru berpandu baharu adalah keutamaan.
Karakayev turut mendedahkan Russia juga sedang menyiapkan pembangunan sistem peluru berpandu yang sama dengan peluru berpandu hipersonik jarak sederhana, Oreshnik.
Beliau berkata, program pembangunan persenjataan negara akan mempertimbangkan pelbagai pilihan untuk senjata serangan strategik Russia dan mengambil kira langkah sama oleh Amerika Syarikat (AS) selepas tamat perjanjian senjata nuklear New START, antara kedua-dua negara pada 2026.
Menurutnya, Russia tidak menolak untuk menambah bilangan kepala peledak pada peluru berpandu yang digunakan selepas perjanjian New START tamat, sebagai tindak balas kepada tindakan sama oleh AS.
Katanya, Moscow dan Washington terus memberikan amaran 24 jam antara satu sama lain mengenai sebarang ujian pelancaran peluru berpandu balistik antara benua dan peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari kapal selam.
Program persenjataan Russia memastikan pasukan peluru berpandu strategik negara dilengkapi dengan sistem mudah alih, kata Karakayev.
“Bahagian peluru berpandu yang dilengkapi dengan sistem peluru berpandu berasaskan mudah alih akan menjadi kaedah penentu untuk menyebabkan kerosakan dahsyat kepada musuh dalam serangan balas disebabkan keupayaan manuver dan daya ketahanan, terutama dalam konteks penempatan sistem pertahanan peluru berpandu AS,” katanya.- REUTERS