KUALA LUMPUR: Terpalit dengan kontroversi membabitkan rakan industri muzik, penyanyi, Aisha Retno, 24, mendedahkan dirinya bersedia untuk bersemuka dengan Yuka Kharisma bagi meleraikan salah faham yang berlaku antara mereka.
Menurut Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, pihaknya enggan lagi memanjangkan isu berhubung pembatalan Konsert Malam Sutera Aisha Retno dan memilih untuk bermaafaan dengan Yuka selaku penganjur menerusi syarikat miliknya, Kharisma Music International.
“Saya bersedia untuk bermaafan dengan pihak sana, kalau pihak sana telefon sudah pasti saya akan jawab. Saya mahu mudahkan kerja kedua-dua pihak.
“Saya menunggu kata maaf dari mereka dan saya juga bersedia memberi kata maaf kepada mereka kalau saya ada buat silap. Saya mahu semuanya aman.
“Semua tahu, dia (Yuka) sudah saya anggap macam kakak sendiri, tetapi apa yang dibuat itu mungkin terdesak. Saya tidak salahkan dia seratus peratus. Hati Yuka bersih.
“Pasti apa yang berlaku ada juga salah saya, mungkin perbicangan secara tertutup paling penting sebelum diuar-uarkan kepada umum,”katanya.
Aisha berkata demikian ketika ditemui di pelancaran lagu terbaharu XONE berjudul Langgar yang diadakan di sekitar ibu negara baru-baru ini.
Selain itu, jelas penyanyi lagu Sutera dan Samudera ini, dia juga tidak mahu memikirkan isu tersebut serta mahu fokus kepada perancangan kerjaya seninya
Bagaimanapun, dia tidak menolak, ada antara kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Yuka tidak semuanya benar.
“Isu itu tidak akan berhenti setakat itu sahaja, kerana apa yang dikatakan oleh pihak sana ada yang betul ada salah. Hanya pihak tertentu sahaja tahu yang mana betul yang mana salah.
“Entahlah, sekarang saya mahu fokus dengn karier. Saya cuba untuk mengabaikan seketika apa dikatakan pihak sana yang dakwa saya kurang profesional. Malah sehingga kini tiada perjumpaan dengan saya,”ujarnya.
Dalam pada itu, Aisha menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengajaran dan hikmah bernilai buat dirinya.
“Selepas isu pembatalan konsert semakin ramai juga yang mula mengenali saya. Insya-Allah pada masa akan datang, saya akan lebih berhati-hati untuk berurusan dengan mana-mana pihak termasuk kawan sendiri.
“Saya juga tidak trauma untuk mengadakan konsert pada masa akan datang. Segala yang berlaku ada sebab,”katanya.
Terdahulu, penyanyi Yuka Kharisma selaku penaung Kharisma Music International menuntut Aisha membayar semula wang sebanyam RM83,000 yang dipinjamkan bagi merealisasima persembahan ketika AJL 38 Mac lalu.
Difahamkan, Konsert Malam Sutera Aisha Retno yang dibatalkan itu menjadi kaedah pembayaran semula jumlah dipinjamkan kepada penyanyi itu.
Sebelum ini, Kharisma Music International memaklumkan Konsert Malam Sutera Aisha Retno yang dijadualkan pada 16 November dibatalkan atas faktor jualan tiket.
Susulan pembatalan, Aisha mengakui kesal dengan tindakan penganjur kerana membuat keputusan mengejut tanpa memaklumkan dirinya terlebih dahulu.