Sanusi kesal suami isteri tipu daftar PPS berasingan demi wang

Sanusi kesal suami isteri tipu daftar PPS berasingan demi wang

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan mengkaji semula mekanisme agihan bantuan wang tunai kepada mangsa banjir ekoran terdapat segelintir mereka bertindak menipu untuk mendapatkan wang yang lebih.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan terus menyalurkan RM1,000 kepada mangsa terlibat bagi meringankan beban mereka terutama yang mengalami kerosakan harta benda. 

“Hari ini kerajaan negeri putus untuk pertimbang sumbangan Bantuan Sejahtera kepada semua mangsa banjir cuma mekanismenya kena dibangunkan semula. Sumbangan sebelum ini kita beri kepada ketua isi rumah yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). 

“Tetapi kita dapat mengesan ada isi rumah pergi duduk banyak PPS. Bini (isteri) daftar sana, laki (suami) daftar sini. Saya dimaklumkan pegawai daerah dapat dikesan beberapa kejadian itu. Dalam banjir pun ambil kesempatan lagi nak ‘kecoh’ (tipu) kerajaan. Tak baguslah amalan itu. 

“Saya tak tahu halal atau tidak sebab kita bagi RM1,000 tapi dia dapat RM3,000 hingga RM4,000. Ini tidak halalkan? Saya rasa kali ini kita akan teliti perkara itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat EXCO di sini hari ini. 

Muhammad Sanusi berkata, mekanisme bantuan itu yang akan disalurkan kepada mangsa tidak berpindah pula akan mengambil kira beberapa syarat utama termasuk laporan polis. 

“Satu mekanisme yang munasabah. Pertama kena ada laporan polis, yang berpindah sudah tentu kita pertimbangkan dan yang tidak berpindah atas faktor tertentu seperti PPS penuh atau berpindah ke PPS yang tidak digazetkan seperti masjid. 

“Perkara itu kerajaan negeri akan pertimbang tetapi dia kena dapatkan pengesahan Majlis Ketua Kampung (MKK) yang mengetahui keadaan sebenar di kampung itu,” katanya. 

Menurut beliau, banjir kali ini mengakibatkan sebanyak 11,046 mangsa daripada 3,574 keluarga terjejas dan ditempatkan di PPS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya