BANDUNG: Gara-gara sakit hati akibat cintanya ditolak, seorang wanita diculik oleh empat lelaki di Bandung, Jawa Barat.
Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Daerah Jawa Barat, Jules Abraham Abast berkata, tindakan itu berpunca akibat dendam dan cemburu suspek utama yang berasa sakit hati apabila cintanya ditolak oleh mangsa.
“Motif utama adalah masalah cinta. Suspek mendakwa pernah menjalinkan hubungan dengan mangsa sejak tahun 2014, malah mengaku telah bernikah secara lisan tanpa dokumen yang sah.
“Bagaimanapun, mangsa kini sudah berkahwin dengan orang lain, manakala suspek masih bujang,” katanya seperti dilaporkan oleh TribunJabar.
Menurut Jules, tiga suspek lain berumur antara 35 hingga 51 tahun direkrut oleh suspek utama dengan bayaran 100,000 rupiah (RM30) setiap seorang.
Suspek utama turut menggunakan senjata api mainan untuk menakutkan mangsa dan memaksanya masuk ke dalam sebuah kenderaan yang disewa.
Ketua Polis Bandung, Budi Sartono mendedahkan peranan setiap suspek dalam kes ini dengan dalang utama membawa senjata api dan memaksa mangsa masuk ke dalam kenderaan, manakala tiga yang lain bersubahat dalam membantu melakukan penculikan tersebut.
Mangsa dilaporkan diculik selama lapan jam di sekitar wilayah Bandung sebelum diturunkan di kawasan Pasir Impun.
Mangsa kemudian diarahkan oleh suspek untuk menaiki motosikal teksi pulang ke rumah.
“Sepanjang penculikan, tiada tindakan kekerasan dilakukan terhadap mangsa, termasuk tidak meletakkan pita pelekat pada mulutnya,” jelas Jules.
Senjata api yang digunakan untuk menakutkan mangsa telah dirampas bersama sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Z 1227 VA.
Keempat-empat suspek kini berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 328 dan 333 Kanun Jenayah Indonesia yang membawa hukuman penjara sehingga 12 tahun jika sabit kesalahan. -AGENSI