SEOUL: Sekumpulan penyelidik Korea Selatan berjaya mencipta robot pemakai ringan yang mampu membantu pengguna paraplegia berjalan, mengatasi halangan dan menaiki tangga.
Robot eksoskeleton itu, hasil inovasi pasukan makmal di Institut Sains dan Teknologi Lanjutan Korea (KAIST), direka untuk berintegrasi dengan kehidupan seharian individu kelainan upaya.
Kim Seung-hwan, seorang paraplegia yang juga ahli pasukan KAIST, mempamerkan prototaip robot tersebut yang membolehkannya berjalan pada kelajuan 3.2 kilometer sejam, menaiki tangga dan melangkah ke sisi untuk duduk di bangku.
“Robot ini boleh datang di mana-mana sahaja saya berada, walaupun saya sedang duduk di kerusi roda, serta membantu saya berdiri. Ini adalah salah satu ciri paling unik,” kata Kim.
Robot yang dinamakan WalkON Suit F1 ini dibuat daripada aluminium dan titanium dengan berat hanya 50 kilogram.
Ia dikuasakan oleh 12 motor elektronik yang mensimulasikan pergerakan sendi manusia ketika berjalan.
Menurut Park Jeong-su, seorang lagi ahli pasukan KAIST, inspirasi mencipta robot ini datang daripada filem Iron Man.
“Selepas menonton Iron Man, saya terfikir alangkah baiknya jika kita dapat membantu orang ramai menggunakan robot seperti ini dalam kehidupan sebenar,” katanya.
Robot ini turut dilengkapi sensor pada tapak dan bahagian atas badan yang mampu memantau 1,000 isyarat per saat untuk memastikan keseimbangan pengguna.
Selain itu, lensa pada bahagian depan robot bertindak sebagai mata untuk menganalisis persekitaran, mengenal pasti ketinggian tangga dan mengesan halangan, khusus bagi pengguna paraplegia sepenuhnya yang kekurangan deria keseimbangan. -AGENSI