TBILISI : Puluhan ribu penunjuk perasaan berkumpul di ibu negara Georgia, Tbilisi bagi membantah keputusan kerajaan menghentikan rundingan penyertaan ke Kesatuan Eropah (EU), pada Sabtu.
Protes tersebut bertukar ganas apabila penunjuk perasaan membina penghadang, memecahkan tingkap bangunan dan membakar mercun di luar bangunan Parlimen.
Polis rusuhan bertindak balas menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai, sementara laporan media tempatan menyebut demonstrasi turut berlaku di bandar-bandar lain di seluruh negara.
Protes ini adalah yang terbesar sejak parti pemerintah yang cenderung anti-Barat, Georgian Dream, memenangi pilihan raya semula, bulan lalu.
Pihak pembangkang pro-EU mendakwa keputusan pilihan raya itu dimanipulasi.
Sebelum protes bermula, Perdana Menteri, Irakli Kobakhidze menuduh pembangkang pro-EU merancang revolusi, sementara Perkhidmatan Keselamatan Negara mendakwa terdapat usaha untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan.
Keputusan parti Georgian Dream untuk menghentikan rundingan penyertaan EU selama empat tahun mencetuskan krisis politik yang serius kerana langkah itu diambil dengan alasan Kesatuan Eropah cuba memeras ugut Georgia.
EU tetap menjadi matlamat utama Georgia, dengan penyertaan ke dalam blok tersebut termaktub dalam Perlembagaan negara.
Polis menahan 107 individu di Tbilisi pada Jumaat malam, dengan rakaman menunjukkan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.
Keputusan menghentikan rundingan penyertaan EU ini menutup episod kemerosotan hubungan antara Georgian Dream dan Barat, manakala hubungan negara itu dengan Russia dilihat semakin erat. – AGENSI