MOSCOW : Bekas Presiden Syria, Bashar Al-Assad ditempatkan di sebuah lokasi yang sangat selamat di Russia, kata Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Ryabkov, menerusi temubual dengan NBC News.
Kremlin pada Isnin mengumumkan Presiden, Vladimir Putin telah membuat keputusan untuk memberikan suaka politik kepada Bashar di Russia.
Kejatuhannya merupakan tamparan besar kepada Iran dan Russia, yang telah campur tangan dalam perang saudara Syria selama 13 tahun untuk menyokong pemerintahan Bashar, walaupun terdapat desakan dari Barat agar beliau melepaskan kuasa.
“Beliau selamat, dan ini menunjukkan Russia bertindak seperti yang diperlukan dalam situasi luar biasa seperti ini,” kata Ryabkov kepada NBC.
Bagaimanapun, Ryabkov tidak akan mengulas lanjut mengenai apa yang berlaku dan bagaimana penyelesaiannya.
Ditanya Russia akan menyerahkan Basahr untuk dibicarakan, Ryabkov berkata, Rusia bukan pihak dalam konvensyen yang menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Sejak awal Perang Dingin, Moscow telah menyokong Syria, mengiktiraf kemerdekaannya pada 1944 ketika Damsyik berusaha membebaskan diri daripada penjajahan Perancis.
Dalam kenyataan berasingan, Ryabkov berkata, Rusia pasti bersedia untuk mempertimbangkan pertukaran tahanan lain, serupa dengan pertukaran pada Ogos yang melibatkan wartawan Wall Street Journal, Evan Gershkovich dan bekas Marin AS, Paul Whelan.
Beliau menyatakan perjanjian baharu itu akan menjadi langkah positif ke hadapan, terutamanya pada permulaan pentadbiran baharu, sambil menambah beliau tidak mahu mendahului apa-apa. -AGENSI