Russia larang rakyatnya kunjungi AS - Utusan Malaysia

Russia larang rakyatnya kunjungi AS

ORANG ramai berjalan di bandar Moscow di Russia.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak mengunjungi Amerika Syarikat (AS) dan negara Barat lain, atas alasan mereka boleh ‘diburu’ oleh pihak berkuasa di negara tersebut.

Jurucakap Kementerian Luar, Maria Zakharova mengeluarkan amaran itu menerusi taklimat pada Rabu.

Jelasnya, rakyat Russia boleh terperangkap dalam hubungan berbahaya dengan AS.

“Perjalanan ke AS secara persendirian atau di luar keperluan rasmi penuh dengan risiko yang serius,” katanya sambil menyifatkan hubungan AS-Russia ‘di ambang keretakan’.

Rakyat Russia juga perlu mengelak pergi ke Kanada dan sekutu AS di Kesatuan Eropah, kata Zakharova, sambil menyifatkan negara tersebut sebagai ‘satelit’ AS.

AS juga menasihati rakyatnya supaya tidak pergi ke Russia, dengan mengatakan ‘mereka mungkin menghadapi gangguan atau penahanan oleh pegawai keselamatan Rusia’ atau ‘penguatkuasaan undang-undang tempatan sewenang-wenangnya’ berdasarkan kewarganegaraan mereka.

Diplomat Russia dan AS bersetuju hubungan kedua-dua negara kini berada pada tahap terburuk sejak Krisis Peluru Berpandu Cuba pada 1962, susulan perang yang berlarutan di Ukraine.

AS merupakan penyokong terbesar Ukraine dengan menyumbang bantuan ketenteraan bernilai AS$62 bilion (RM285 bilion) sejak pencerobohan besar-besaran Rusia pada Februari 2022.

Bulan lalu, Washington meluluskan penggunaan peluru berpandu taktikal jarak jauh buatan AS untuk digunakan oleh Ukraine dalam serangan jauh ke dalam wilayah Rusia sehingga mencetuskan kemarahan Moscow yang menurunkan ambang nuklearnya.

Russia turut mengecam pemberian pinjaman AS$20 bilion (RM92 bilion) dari AS kepada Ukraine yang akan dibiayai oleh keuntungan hasil rampasan aset Russia.

Zakharova turut mendakwa bantuan besar-besaran AS kepada Ukraine hanya bertujuan untuk melanjutkan penderitaan rejim Kyiv dan memperkukuhkan amalan rasuah yang dilakukan oleh pentadbiran Joe Biden. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya