KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa Russia mula menggunakan askar Korea Utara untuk melancarkan serangan terhadap kedudukan Ukraine di wilayah Kursk.
Zelensky berkata, terdapat maklumat awal menunjukkan sejumlah besar askar Korea Utara telah dikerahkan.
“Russia menggabungkan mereka dalam unit-unit tertentu dan menggunakannya dalam operasi di wilayah Kursk,” katanya.
Zelensky turut memberi amaran pasukan tersebut mungkin dihantar ke bahagian lain di barisan hadapan, sambil menyatakan mereka telah mengalami kerugian ketara.
Washington dan Seoul menuduh Pyongyang menghantar lebih 10,000 askar bagi membantu Moscow selepas kedua-dua negara menandatangani pakatan pertahanan penting pada musim panas lalu.
Hubungan ketenteraan antara Russia dan Korea Utara semakin kukuh sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Februari 2022.
Bulan lalu, Zelensky turut mendakwa sebanyak 11,000 tentera Korea Utara telah ditempatkan di wilayah Kursk, dengan sebahagian mereka sudah terkorban.
Russia, yang terkejut dengan serangan Ukraine di Kursk, sejak itu bertindak balas dengan menghantar lebih banyak pasukan bagi menghentikan kemaraan Ukraine.
Sumber tentera Ukraine memberitahu AFP bulan lalu, Kyiv masih mengawal 800 kilometer persegi wilayah Kursk, berbanding 1,400 kilometer persegi yang didakwa sebelum ini. -AGENSI