Ribuan wanita Kurdi berhimpun tuntut hak di Syria

Ribuan wanita Kurdis berhimpun tuntut hak di Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QAMISHLI: Ribuan wanita berhimpun di bandar Qamishli di timur laut Syria pada Isnin, bagi mendesak pemerintah baharu di Damsyik agar menghormati hak wanita serta mengecam serangan ketenteraan yang disokong Turkiye di wilayah Kurdis di utara.

Sebilangan besar penunjuk perasaan mengibarkan bendera hijau Unit Perlindungan Wanita (YPJ), sebuah cabang militan Unit Perlindungan Rakyat Kurdis (YPG) yang dianggap sebagai ancaman keselamatan oleh Turkiye dan dituntut agar dibubarkan segera.

“Kami menuntut hak wanita daripada kerajaan baharu dan golongan wanita tidak boleh diketepikan daripada hak dalam sistem ini.

“Kami juga mengecam serangan pendudukan Turkiye terhadap bandar Kobani,” kata aktivis hak wanita, Sawsan Hussein.

Kumpulan Kurdi telah menikmati autonomi di kebanyakan kawasan utara Syria sejak perang saudara bermula pada 2011.

Pasukan pejuang YPG, yang mengetuai kumpulan bersenjata Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang disokong AS, merupakan kuasa utama di rantau itu.

Bagaimanapun, keseimbangan kuasa di Syria berubah sejak kumpulan Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) mengambil alih Damsyik dan menggulingkan Bashar al-Assad dua minggu lalu, membentuk pentadbiran baharu yang mesra Ankara.

Kumpulan Kurdi dominan di Syria memegang ideologi yang menekankan sosialisme dan feminisme, berbeza dengan pandangan konservatif Sunni HTS, bekas cabang Al-Qaeda.

Turkiye menganggap YPG sebagai lanjutan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang telah melancarkan pemberontakan terhadap Turkiye sejak 1984 dan dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye, Amerika Syarikat, dan Kesatuan Eropah.

Ketegangan antara SDF dan pasukan Syria yang disokong Turkiye, dikenali sebagai Tentera Nasional Syrian (SNA), semakin meningkat sejak Bashar digulingkan, dengan SDF diusir dari bandar Manbij di utara.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya