MASSACHUSETTS : Ribuan satelit yang berada di orbit rendah bumi dilaporkan mengalami pergeseran kedudukan akibat tempoh maksimum aktiviti matahari yang berlaku tahun ini.
Fenomena ini menandakan puncak aktiviti matahari dalam kitaran 11 tahun, yang dicirikan oleh letusan matahari besar-besaran dan semburan partikel bermuatan yang menuju ke Bumi.
Saintis dari Massachusetts Institute of Technology (MIT), William Parker berkata, bumi mengalami dua ribut geomagnetik tahun ini akibat siri letusan matahari.
Ribut ini mengakibatkan migrasi besar-besaran satelit di orbit rendah, sesuatu yang belum pernah terjadi sebelum ini.
Pada Mei lalu, ribut geomagnetik ekstrem dengan kekuatan G5, yang pertama dalam lebih 20 tahun telah berlaku.
Ribut ini menyebabkan atmosfera di orbit rendah Bumi (160 hingga 2,000 kilometer di atas permukaan Bumi) menjadi lebih padat, meningkatkan daya seretan pada satelit dan akibatnya, ribuan satelit mengalami pergeseran kedudukan.
Peristiwa ini turut memberi kesan kepada rangkaian elektrik di bumi dan menghasilkan aurora yang dapat dilihat di beberapa bahagian dunia.
Hampir 5,000 satelit terpaksa melakukan manuver automatik untuk kembali ke kedudukan asal, menjadikan peristiwa ini migrasi satelit terbesar dalam sejarah.
Pergerakan besar-besaran ini turut menyukarkan ramalan kedudukan satelit, sekali gus meningkatkan risiko perlanggaran di angkasa.
Para saintis kini giat mengkaji tingkah laku matahari bagi memahami dan meramal kejadian ribut geomagnetik pada masa akan datang, agar operator satelit dapat bersedia menghadapi ancaman ini.-AGENSI