DAMSYIK: Ratusan bekas tentera Syria melapor diri kepada pemerintah baharu negara itu buat pertama kalinya, pada Sabtu, sejak bekas Presiden, Bashar al-Assad digulingkan.
Mereka dikehendaki menjawab soalan sama ada berkemungkinan terlibat dalam jenayah terhadap orang awam sebagai pertukaran untuk pengampunan yang dijanjikan dan kembali ke kehidupan biasa.
Bekas tentera itu dilihat berbaris di pejabat utama di Damsyik yang dahulunya milik parti Baath, Bashar yang telah memerintah Syria selama enam dekad.
Mereka bertemu dengan anggota penyiasat yang menyerang kawasan ibu negara pada 8 Disember lalu, dan diberikan senarai soalan serta nombor pendaftaran.
Bekas anggota tentera berkenaan kemudian bebas untuk meninggalkan tempat itu.
Di dalam bangunan itu, mereka berdiri dalam barisan pendek di hadapan empat bilik dengan penyiasat bertanya setiap seorang berpandukan senarai soalan di atas kertas.
Beberapa anggota perkhidmatan tentera dan keselamatan yang telah dibubarkan menunggu di luar bangunan itu memberitahu The Associated Press, mereka menyertai pasukan Bashar kerana menerima pendapatan bulanan yang stabil dan rawatan perubatan percuma.
Kejatuhan Bashar mengejutkan ramai pihak kerana puluhan ribu tentera dan anggota perkhidmatan keselamatan gagal menghentikan kemaraan pasukan pejuang di negara itu.
Pihak berkuasa baharu yang mengawal Syria, kini sedang menyiasat kekejaman oleh pasukan Bashar, termasuk kubur besar dan pelbagai penjara yang dikendalikan oleh tentera, perisikan dan agensi keselamatan yang terkenal dengan penyeksaan sistematik dan kejam.
Leftenan Kolonel Walid Abd Rabbo, yang bekerja dengan Kementerian Dalam Negeri baharu berkata, pasukan tentera telah dibubarkan dan kerajaan sementara belum memutuskan sama ada mereka boleh memohon untuk menyertai semula tentera.
Pemimpin baharu berikrar untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab atas jenayah terhadap rakyat Syria di bawah pentadbiran Bashar.
Beberapa lokasi untuk soal siasat dan pendaftaran bekas tentera telah dibuka di kawasan lain di Syria sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Bekas tentera, Abdul Rahman Ali, 43, yang kali terakhir berkhidmat di bandar utara Aleppo sehingga ditawan oleh pemberontak awal Disember lalu, memberitahu dia hadir demi perdamaian dan tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.
Ali, yang memperoleh 700,000 pound Syria (RM242) sebulan semasa pentadbiran Bashar berkata, dia akan berkhidmat semula untuk negaranya.
“Kami menerima arahan untuk meninggalkan segala-galanya dan menarik diri.
“Saya meletakkan senjata dan mengenakan pakaian rakyat awam,” katanya yang sanggup berjalan kaki selama 14 jam sehingga sampai ke bandar tengah Salamiyeh, sebelum menaiki bas ke Damsyik.
SOAL SIASAT PENUH TELITI
‘Saya melihat penyesalan di mata mereka’. Itu kata seorang penyiasat ketika dia menyoal seorang tentera yang kini bekerja di restoran shawarma di pinggir Damsyik, Harasta.
Penyiasat bertanya kepada tentera itu mengenai lokasi senjatanya, dan lelaki itu menjawab dia meninggalkannya di pangkalan tempatnya bertugas.
Bekas tentera itu kemudian menyerahkan kad pengenalannya kepada anggota penyiasat.
“Dia sudah menjadi seorang rakyat biasa,” kata penyiasat itu.
Pihak berkuasa akan menjalankan siasatan sendiri sebelum menyoal semula tentera yang sama dalam beberapa minggu untuk memastikan tiada perubahan dalam jawapan yang diberikan sebelum ini.
Penyiasat itu berkata, selepas hampir dua jam, dia sudah menyoal siasat seramai 20 tentera dan bilangan itu dijangka meningkat dalam beberapa hari akan datang.-AP