WASHINGTON: Beberapa rakyat Palestin memfailkan saman terhadap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berhubung sokongan Washington kepada Israel dalam perang di Gaza, yang mengorbankan puluhan ribu nyawa dan menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk.
Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS untuk Daerah Colombia mendakwa, Jabatan Negara di bawah Antony Blinken sengaja mengelak undang-undang hak asasi manusia untuk terus membiayai dan menyokong unit tentera Israel, yang dituduh melakukan kekejaman di Gaza serta Tebing Barat.
“Kegagalan terancang Jabatan Negara untuk menggunakan Undang-Undang Leahy amat mengejutkan, terutama di tengah peningkatan luar biasa pelanggaran hak asasi manusia yang serius oleh Israel sejak perang Gaza meletus pada 7 Oktober 2023,” menurut tuntutan mahkamah itu.
Tuntutan itu difailkan oleh lima warga Palestin di Gaza, Tebing Barat dan AS.
Plaintif utama ialah seorang guru dari Gaza yang menjadi pelarian sebanyak tujuh kali dalam perang berkenaan dan kehilangan 20 ahli keluarga, kata tuntutan mahkamah.
Jabatan Negara enggan mengulas dan merujuk wartawan kepada Jabatan Kehakiman, yang belum memberikan sebarang kenyataan.
Undang-Undang Leahy melarang pemberian bantuan ketenteraan AS kepada individu atau unit pasukan keselamatan yang melakukan pelanggaran hak asasi manusia dan belum dibawa ke muka pengadilan.
Kedua-dua Afrika Selatan di Mahkamah Dunia dan Amnesty International menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai serta jenayah perang, namun rejim konon menafikan tuduhan itu.
Washington berdepan kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia kerana mengekalkan sokongannya kepada Israel tanpa sebarang perubahan dasar yang besar.
Perang Israel di Gaza meragut lebih daripada 45,000 nyawa dan menyebabkan hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk Palestin menjadi pelarian serta mencetuskan krisis kebuluran.
Pertumpahan darah terbaharu dalam konflik Israel-Palestin yang sudah berdekad lamanya tercetus pada 7 Oktober 2023, apabila pejuang Hamas melancarkan serangan rentas sempadan ke Israel.
GENCATAN SENJATA GAZA
Sementara itu, pejuang Hamas menegaskan, perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tebusan di Gaza boleh dicapai, dengan syarat rejim Israel tidak mengenakan syarat tambahan yang boleh menghalang kemajuan.
“Perbincangan serius dan positif sedang berlangsung di Doha minggu ini di bawah naungan Qatar dan Mesir.
“Gencatan senjata dan pertukaran tahanan mungkin boleh berjaya dicapai jika penjajah Israel berhenti memperkenalkan syarat baharu,” kata Hamas, kelmarin.
Sumber memberitahu Reuters, perjanjian gencatan senjata mungkin dapat dimuktamadkan dalam beberapa hari akan datang.
Sumber tersebut juga mendakwa, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan sedang menuju ke Kaherah untuk mengadakan perbincangan mengenai Gaza.
Bagaimanapun, jurucakap Netanyahu menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa ia bertentangan dengan khabar angin bahawa Perdana Menteri kini di Kaherah.
Kemudian, gambar menunjukkan Netanyahu berada di Dataran Tinggi Golan yang diduduki bersama Menteri Keselamatan, Israel Katz dan Ketua Staf, Herzi Halevi.
Sempena ulang tahun ke-37, Hamas menegaskan komitmennya untuk menghentikan serangan dan mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.
Kumpulan pejuang menekankan pendekatan konstruktifnya terhadap inisiatif yang bertujuan menamatkan permusuhan, termasuk membawa pulang rakyat yang dipindahkan, pengunduran tentera Israel, penyediaan bantuan kemanusiaan, usaha pembinaan semula dan perjanjian pertukaran tahanan.
Hamas turut terbuka dengan sebarang inisiatif yang boleh dipercayai untuk menamatkan perang dan mengecam Netanyahu serta kerajaan Israel kerana meneruskan genosid terhadap orang awam, dengan sokongan Amerika Syarikat (AS).- AGENSI