DAMSYIK: Pemimpin kumpulan pembangkang utama yang merampas ibu kota Syria, Abu Mohammed al-Julani menegaskan rakyat adalah ‘pemilik sah’ negara itu selepas penggulingan Presiden, Bashar al-Assad.
Beliau turut mengisytiharkan ‘sejarah baharu’ telah tertulis di seluruh Asia Barat.
Pemimpin itu menyampaikan ucapan kemenangan di Masjid Umayyah yang merupakan simbolik di ibu negara, hanya beberapa jam selepas kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) menakluk bandar itu, semalam.
Jelasnya, kerajaan ‘zalim’ Bashar yang melarikan diri dari Syria dan kini berada di Russia telah berjaya digulingkan.
“Rejim al-Assad memenjarakan beribu-ribu orang awam secara tidak adil yang tidak melakukan sebarang jenayah.
“Kami (rakyat Syria) adalah pemilik sah (negara ini). Kami telah berjuang dan hari ini diberi ganjaran kemenangan.
“Berapa ramai orang yang dipindahkan di seluruh dunia? Berapa ramai yang terpaksa tinggal di khemah? Berapa ramai yang mati lemas di laut?” soalnya kepada khalayak.
Pada masa sama, Al-Julani turut memberi peringatan kepada orang ramai untuk melakukan kerja keras bagi membina Syria baharu yang akan menjadi ‘suar bagi negara Islam’.
“Saudara-saudaraku, sejarah baharu sedang ditulis di seluruh rantau ini selepas kemenangan besar.
“Kemenangan ini adalah untuk semua rakyat Syria. Kamu semua adalah sebahagian daripada kemenangan ini,” katanya.
Sebelum ini, al-Julani mengetuai cawangan al-Qaeda Syria, al-Nusra Front sebelum meninggalkan kumpulan itu.
Bagaimanapun, HTS masih dianggap sebagai kumpulan ‘pengganas’ oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Türkiye.
Kumpulan itu juga dituduh oleh kumpulan hak asasi manusia melakukan penyelewengan di Idlib, yang mentadbir sebahagian besar wilayah itu sejak 2017. -ALJAZEERA