Puluhan ribu rakyat Serbia sertai protes, dakwa kerajaan rasuah

Puluhan ribu rakyat Serbia sertai protes, dakwa kerajaan terlibat rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELGRADE: Puluhan ribu rakyat berhimpun di ibu kota Serbia pada Ahad, bagi menuntut pemimpin negara itu bertanggungjawab atas tragedi runtuhan bumbung stesen kereta api di Novi Sad yang mengorbankan 15 nyawa, bulan lalu.

Protes besar-besaran itu merupakan sebahagian daripada demonstrasi yang berlarutan selama tujuh minggu di seluruh negara, dengan banyak pihak menuduh kerajaan terlibat dalam isu rasuah dan pengawasan yang lemah.

Perhimpunan itu memenuhi Dataran Slavija, salah satu bulatan utama di pusat bandar, menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Serbia, kira-kira 29,000 orang menghadiri protes tersebut.

Antara sepanduk yang dibawa peserta ialah ‘Negara ini milik anak-anak’ dan ‘Protes adalah peperiksaan,’ menggambarkan gesaan mereka supaya Perdana Menteri Serbia dan Datuk Bandar Novi Sad meletak jawatan serta individu yang bertanggungjawab terhadap tragedi itu didakwa di mahkamah.

Protes turut disertai oleh golongan petani, pelakon dan kumpulan lain dari seluruh Serbia, manakala satu lagi demonstrasi turut berlangsung di bandar Nis, di selatan negara itu.

Dalam masa sama, pelajar turut menuntut pihak berkuasa menggugurkan pendakwaan terhadap peserta demonstrasi dan mendakwa individu yang menyerang mereka dalam protes sebelum ini.

Sebelum ini, Presiden Serbia, Aleksandar Vucic berkata, beliau ‘tidak ambil peduli’ mengenai protes tersebut, tetapi mengakui perhimpunan itu ‘berskala besar’.

Dalam satu hantaran video di Instagram dari bangunan Presiden berhampiran lokasi protes, Vucic berkata, beliau ‘bersedia’ mendengar tuntutan peserta.

“Peserta yang hadir cenderung kepada pembangkang dan saya sentiasa bersedia mendengar pandangan serta apa yang mereka rasa penting untuk negara kita,” katanya.

Jumaat lalu, pihak berkuasa turut mengumumkan penutupan sekolah lebih awal bagi cuti musim sejuk, namun, pelajar tetap meneruskan bantahan mereka, dengan hampir semua fakulti di universiti awam di seluruh negara disekat oleh kumpulan pelajar.

Dalam tragedi pada 1 November lalu, seramai 14 individu berusia antara enam hingga 74 tahun terbunuh apabila bumbung stesen kereta api runtuh selepas kerja-kerja pengubahsuaian besar dilakukan, manakala mangsa ke-15 meninggal dunia di hospital beberapa minggu kemudian.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya