KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap perarakan membabitkan pengamal media dan badan bukan kerajaan (NGO) ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum memperjuangkan kebebasan media.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Siasatan sedang dijalankan. Kita akan mengesan dan memanggil penganjur terlibat untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, kira-kira 50 pengamal media dan wakil NGO berarak dari Taman Tugu di sini ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bagi membantah cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA).
Pengamal media dari pelbagai agensi berarak kira-kira 500 meter selepas bergerak dari Taman Tugu pada pukul 9.30 pagi.
Perhimpunan aman tersebut dianjurkan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).
NUJ, Geramm dan CIJ menerusi satu kenyataan bersama berkata, memorandum terbabit ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selain kepada Fahmi sendiri.
“Kami tegas menentang sebarang cadangan pindaan PPPA yang mengancam kebebasan dan autonomi media.
“Walaupun kami menyambut baik jaminan Kementerian Dalam Negeri untuk berunding dengan pihak berkepentingan, kami mendesak dialog yang telus dan inklusif dengan semua pihak terlibat,” katanya.
Memorandum tersebut diperakui oleh 12 agensi media dan 40 NGO termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Women’s Aid Organisation (WAO), Rangkaian Solidariti Demokratik Pesakit Mental (SIUMAN), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Freedom Film Network, Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM) dan Persatuan Wartawan Malaysia.
NUJ, CIJ dan Geramm sebelum ini dilapor membangkitkan kebimbangan susulan kerajaan didakwa akan meminda PPPA termasuk mengenakan keperluan pelesenan bagi media dalam talian.- UTUSAN