Polis Australia buru suspek bakar rumah ibadat - Utusan Malaysia

Polis Australia buru suspek bakar rumah ibadat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Polis Australia memburu tiga suspek berhubung insiden membakar rumah ibadat di Melbourne, yang diisytiharkan sebagai serangan pengganas.

Menurut polis, penyerang yang memakai topeng membakar Sinagog Adass Israel, sebelum waktu Subuh Jumaat lalu, yang memusnahkan sebahagian besar bangunan itu. 

Beberapa individu berada di dalam bangunan satu tingkat tersebut ketika itu tetapi tiada kecederaan serius dilaporkan.

Namun, insiden itu mencetuskan kecaman antarabangsa, termasuk daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mengecam kerajaan Australia dan menganggapnya sebagai serangan anti-semitisme.

“Polis mengenal pasti tiga suspek yang terlibat melakukan serangan itu dan mereka sedang diburu. Siasatan pada hujung minggu memberi banyak petunjuk,” kata Ketua Pesuruhjaya Polis, Victoria Shane Patton.

Katanya, pegawai dari Polis Persekutuan, negeri serta Agensi Perisikan Australia mengadakan pertemuan dan membuat kesimpulan tindakan membakar rumah ibadat itu adalah serangan pengganas dan polis anti-keganasan turut dipanggil untuk menyertai siasatan.

Perdana Menteri, Anthony Albanese mengutuk kebakaran itu, menggambarkannya sebagai tindakan keganasan dan peningkatan membimbangkan dalam anti-Semitisme di Australia.

Peperangan di Gaza mencetuskan bantahan daripada penyokong Israel dan Palestin di bandar-bandar sekitar Australia, seperti di kebanyakan negara dunia.

“Perbuatan keji ini tidak boleh dipisahkan daripada sentimen anti-Israel yang berpunca daripada kerajaan Buruh Australia. Sentimen anti-Israel adalah anti-Semitisme,” kata Netanyahu dalam kenyataannya kelmarin.

Komen itu dibuat hanya beberapa hari selepas Australia mengundi untuk resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang menuntut penamatan kehadiran yang menyalahi undang-undang di Wilayah Palestin yang Diduduki.

New Zealand, Britain, dan Kanada adalah antara 157 negara yang mengundi resolusi itu, dengan lapan menentang.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya