DAMSYIK : Perdana Menteri Syria, Mohammed al-Jalali hari ini menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan mana-mana kepemimpinan yang dipilih oleh rakyat selepas Presiden negara itu, Bashar al-Assad melarikan diri.
Pemimpin kumpulan pejuang, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), Abu Mohammed al-Jolani mengarahkan pasukannya untuk tidak mendekati institusi rasmi di Damsyik.
Jelasnya, institusi tersebut akan tetap berada di bawah kawalan Perdana Menteri sehingga ia diserahkan ‘secara rasmi’.
Sejak 27 November lalu, HTS dan sekutunya telah melancarkan serangan pantas, merampas kawasan-kawasan luas dari kawalan kerajaan, termasuk bandar-bandar utama seperti Aleppo, Hama, dan Homs.
Beberapa wilayah di selatan dan timur negara itu juga telah jatuh ke tangan pejuang tempatan selepas tentera negara berundur.
Awal pagi hari ini, kumpulan pejuang itu mengumumkan Bashar telah melarikan diri dan mengisytiharkan pembebasan kota Damsyik.
“Selepas 50 tahun penindasan di bawah pemerintahan Baath (parti Bashar Al-Assad), dan 13 tahun jenayah, kezaliman serta pengusiran paksa, kami mengisytiharkan berakhirnya tempoh gelap ini dan permulaan era baharu untuk Syria,” kata pejuang itu dalam kenyataan yang disiarkan dalam saluran Telegram.
Menerusi ucapan yang disiarkan melalui akaun Facebooknya, al-Jalali berkata, Syria boleh menjadi sebuah negara normal yang membina hubungan baik dengan negara jiran dan dunia.
“Namun, perkara ini adalah hak kepemimpinan yang dipilih oleh rakyat Syria. Kami bersedia untuk bekerjasama dengan mereka (pemimpin tersebut) dan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan,” tambahnya.
Al-Jalali turut menegaskan beliau bersedia untuk sebarang prosedur penyerahan kuasa demi memastikan kelancaran peralihan kepemimpinan yang aman. -AGENSI