PM merangkap Menteri Kewangan, bukan perkara baharu - Utusan Malaysia

PM merangkap Menteri Kewangan, bukan perkara baharu

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari pertama proses bela diri berkaitan kes 1MDB, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelantikan seorang Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan bukanlah satu perkara baharu di negara ini malah telah menjadi amalan sejak pemerintahan, Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Malah, menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, amalan tersebut masih diteruskan sehingga kini dan turut diamalkan oleh Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Arwah bapa saya, Tun Abdul Razak, turut memegang jawatan tersebut Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serentak semasa beliau memegang jawatan dari 1970 hingga 1976. 

“(Amalan) Ini kemudiannya diteruskan oleh pemimpin lain, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang memegang portfolio kewangan pada 1990-an dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang memegang kedua-dua peranan semasa pentadbirannya.

“Dua peranan itu membolehkan Perdana Menteri menyelia dan menyelaras dasar ekonomi dan fiskal, dan amalan itu berterusan sehingga hari ini dengan perdana menteri sekarang,” kata Najib.

Najib berkata demikian ketika membaca penyataan saksinya setebal 525 muka surat pada hari pertama beliau membela diri atas atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pada 30 Oktober lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kesemua pertuduhan tersebut.

Terdahulu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan bercadang untuk memanggil kira-kira 20 orang saksi termasuk saksi-saksi pakar.

Peguam itu turut memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya itu akan membaca kesemua 525 muka surat penyataan saksi yang dikumpulkan dalam dua jilid.

“Ia bagi memastikan bahawa segala Najib dapat mengingati semula dan memahami prosiding serta peristiwa yang telah berlaku,” kata Muhammad Shafee.

Menurut Seksyen 402B (6) Kanun Prosedur Jenayah, pernyataan saksi hendaklah dibaca dengan kuat dalam prosiding di mahkamah, kecuali jika mahkamah membuat arahan sebaliknya dan dianggap sudah dibaca.

Muhammad Shafee berkata, arahan anak guam ialah supaya dokumen itu dibacakan di mahkamah bagi membolehkan ia diingati dan difahami dengan lebih jelas.

Prosiding bela diri itu bagaimanapun tergendala apabila terdapat perenggan yang `hilang’ daripada dokumen terbabit menyebabkan pembelaan memohon penangguhan bagi membetulkan penyataan saksi itu.

“Kami telah membuat pindaan dan telah membuat salinan baharu namun dokumen yang dibaca hari ini tidak menunjukkan pindaan yang telah dibuat. Mohon penangguhan sementara bagi kami menyediakan semula dokumen yang telah dipinda,” kata Muhammad Shafee.

Prosiding kemudian ditangguhkan dan akan bersambung pukul 2 petang ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya