PETALING JAYA: Hanya kemenangan ke atas Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini mampu membuka peluang buat skuad Harimau Malaya mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2024.
Justeru, aksi itu dianggap misi hidup mati buat skuad kendalian Pau Marti Vicente sama ada mereka mahu terus ‘bernyawa’ dalam kejohanan tertinggi Asia Tenggara itu atau mengucapkan selamat tinggal.
Dalam masa sama, sokongan ribuan penyokong-penyokong setia Harimau Malaya juga sangat didamba skuad kebangsaan bagi menyemarakan semangat pemain selain memberi ‘ketakutan’ kepada pihak lawan.
Venue yang mampu mengisi sehingga 80,000 tempat duduk itu suram sebelum ini terutama selepas Ultras Malaya ketika kejohanan Pestabola Merdeka yang berlangsung September lalu.
Bagaimanapun, pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti mengakui Singapura sebenarnya memiliki ‘kelebihan’ untuk merebut slot ke separuh akhir walaupun pasukannya beraksi di laman sendiri.
Katanya, skuad ‘Lions’ ada kelebihan besar memandangkan mereka yang ketika ini mengatasi Malaysia dengan dua mata dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya seri untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat seterusnya.
Pau Marti mengharapkan barisan pemainnya dapat tampil dengan aksi yang lebih mantap memandangkan segala-galanya kini bergantung di tangan mereka bagi perlawanan penting itu.
“Ini adalah perlawanan yang sengit dan saya jangkakan sukar untuk kita mendapatkan kemenangan yang besar. Tetapi apa yang penting adalah kita perlu mendapatkan kemenangan dan Singapura juga agak keletihan.
“Cuma Singapura ada kelebihan kerana satu mata sudah cukup untuk mereka layak (ke separuh akhir). Jadi kita perlu mengambil risiko dan memberikan segalanya kerana kita perlu menang ke atas Singapura.
“Kami mengharapkan kehadiran penyokong dapat membantu kita dalam misi ke separuh akhir Piala AFF 2024,” katanya.