Peruntukan segera sekolah lumpuh akibat banjir 

Peruntukan segera sekolah lumpuh akibat banjir 

FADHLINA Sidek melihat keadaan SMK Sri Gunong yang terjejas berikutan bencana banjir yang melanda baru-baru ini, di Alor Setar. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyalurkan bantuan segera kepada sekolah-sekolah yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini sehingga melumpuhkan sesi pembelajaran. 

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, semua pihak terlibat dalam proses penyelenggaraan dan pembaikan sekolah yang mengalami kerosakan itu susulan situasi banjir yang semakin pulih. 

“Kita akan ada peruntukan segera bencana ini yang boleh dipohon oleh pihak sekolah sekiranya kerosakan itu memang akan melumpuhkan keseluruhan sekolah ataupun pendidikan murid dan pelajar. 

“Penyelenggaraan ini memang kita akan laksanakan sebelum sesi persekolahan yang akan datang bagi memastikan mereka dapat kembali ke sekolah dengan lebih kondusif,” katanya selepas meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong di sini, hari ini.

Tambah Fadhlina, isu berkaitan kerosakan di sekolah terjejas itu akan ditangani dengan maklumat-maklumat yang sedang dikumpulkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Negeri (PPD) dan pihak sekolah. 

“Kita sedaya upaya nak kembalikan anak secara fizikal ke sekolah dengan segera tetapi kita kena pastikan sekolah selamat, kondusif, bersih untuk mereka menyambung pengajian. 

“Kita masih lagi ada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Jadi ia (pembelajaran) tidak terhenti sepenuhnya sebab walaupun mereka secara fizikal tidak datang ke sekolah tetapi masih melaksanakan pendidikan oleh PdPR. 

“Cikgu kita memang telah bersedia untuk melaksanakan semua jenis pendidikan dalam apa jua situasi dan apabila berlaku bencana begini sebab itu kita nak sekolah ini segera dibaik pulih, berada dalam keadaan kondusif dan bersih supaya anak boleh kembali ke sekolah,” katanya.

Dari segi penilaian kerosakan semua sekolah terlibat, kata beliau, pihak JPN sudah mengemukakan anggaran kerugian dan juga kawasan kerosakan yang perlu segera ditangani.  

“Kita sedang mendapatkan keseluruhan kos kerosakan dengan mengumpul maklumat daripada semua sekolah yang terlibat, biasanya kita sudah ada unjuran itu tetapi ada sesetengah sekolah barangkali teruk sedikit daripada yang lain. 

“Jadi sebab itu kita memerlukan angka sebenar dan laporan daripada JPN supaya kita dapat segera atasi isu itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya