Pergolakan politik di Korea Selatan mengejutkan masyarakat dunia

Pergolakan politik di Korea Selatan mengejutkan masyarakat dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Majoriti pegawai kanan kepada Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menyerahkan surat peletakan jawatan beramai-ramai, semalam. 

Tindakan itu berlaku susulan keputusan pemimpin itu mengumumkan dekri undang-undang tentera singkat sebelum ditarik balik yang mencetuskan ketegangan.  

Individu tersebut melibatkan semua Setiausaha Kanan Presiden serta dua kakitangannya, Penasihat Keselamatan Negara dan Pengarah Dasar Negara. 

Suk Yeol mesti menerima peletakan jawatan berkenaan agar ia berkuat kuasa. Bagaimanapun, belum jelas sama ada Presiden itu akan berbuat demikian atau sebaliknya. 

Situasi yang berlaku di Seoul secara tidak langsung mencetus amaran baharu terhadap kerapuhan institusi demokrasi di seluruh dunia, walaupun di negara yang diangkat sebagai model transformasi politik.

Percubaan semalaman oleh Suk Yeol untuk menutup aktiviti politik, menapis media dan mengunci ahli Parlimen pembangkang turut mengejutkan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) yang tidak memaklumkan amaran awal tentang langkah itu.

Peralihan Korea Selatan kepada pemerintahan yang dipilih sejak pemberontakan besar-besaran pada 1987 dilihat begitu teliti sehinggakan AS sering menyebutnya sebagai rakan kongsi global.

Seoul juga menganggap negaranya sebagai hab baharu yang ideal untuk media antarabangsa apabila China mengekang Hong Kong.

Presiden AS, Joe Biden malah telah memilih Suk Yeol untuk menjadi tuan rumah  Sidang Kemuncak Demokrasi sebelum beliau meninggalkan Rumah Putih. 

Namun, pemerhati yang terkejut dengan tindakan Suk Yeol berkata, terdapat tanda amaran yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat global.

Diplomat terkemuka AS untuk Asia, Danny Russel yang bertugas di bawah bekas Presiden, Barack Obama berkata, tindakan itu jelas mempamer kebuntuan dan konflik dalaman yang membarah di Parlimen Korea Selatan kerana pembangkang berulang kali menuntut pendakwaan terhadap pentadbiran Suk Yeol.

“Tindakan Suk Yeol merupakan satu kejutan kepada saya tetapi ya, terdapat kuasa struktur yang sangat jelas. 

“Terdapat adegan politik terpolarisasi secara radikal di Korea Selatan. Pembangkang telah mengejar taktik penghalang politik bumi hangus,” katanya.

Protes besar-besaran yang tercetus selepas pengisytiharan tersebut adalah tanda masyarakat sivil di negara itu sangat peka, bersemangat dan amat bersedia untuk mempertahankan demokrasi.

“Seseorang pastinya berharap ini akan menjadi peringatan kepada kedua-dua parti konservatif yang memerintah dan pembangkang progresif bahawa kedua-dua pihak telah melampaui batas dan perlu ada beberapa proses perdamaian bagi menangani perbezaan dan rungutan dengan cara yang sah,” katanya.  

KECENDERUNGAN AUTHORITARIAN

Katanya, Suk Yeol sendiri sebelum ini telah menunjukkan tanda-tanda autoritarianisme.

Dalam ucapan kebangsaan tahun lepas, beliau marah terhadap dakwaan wujud komunis yang telah menyamar sebagai aktivis demokrasi, penyokong hak asasi manusia atau aktivis progresif.

Beliau yang berpengalaman sebagai pendakwa raya, menang tipis pada pilihan raya 2022 atas platform pembaharuan ekonomi dan menyokong hubungan rapat dengan AS serta saingan bersejarah Jepun. 

Tetapi popularitinya merosot dengan pantas dan pembangkang memenangi Dewan Negara.

Pakar Korea di Universiti George Washington, Celeste Arrington menyifatkan Suk Yeol tidak pernah memegang jawatan yang dipilih sebelum ini dan menjadi semakin kecewa.

“Ini benar-benar satu langkah melampau yang mungkin memberi isyarat tentang kekurangan pengalaman politik daripada seorang Presiden,” katanya.

Jelasnya lagi, pengumuman undang-undang tentera tersebut menunjukkan beberapa keretakan dalam demokrasi tetapi penarikan balik langkah itu yang dibuat dengan pantas memperlihatkan keadaan demokrasi yang masih utuh di Korea Selatan.

Penyelidik kanan di Yayasan Warisan konservatif, Bruce Klingner menjangka kerjaya Suk Yeol akan berakhir selepas mencuba undang-undang tentera, yang secara Perlembagaan hanya boleh dikenakan untuk peperangan atau kecemasan lain.

“Tindakan Yoon adalah satu keterbalikan kepada dekad usaha Korea Selatan untuk meletakkan masa lalunya yang autoritarian,” katanya.

Kajian terkini turut menunjukkan pemimpin yang dipilih secara demokratik sering mengambil langkah yang semakin autoritarian di beberapa negara termasuk India, Turkiye dan Hungary.

V-Dem, satu lagi indeks demokrasi yang diawasi rapi, baru-baru ini meletakkan Korea Selatan di tempat ketiga di Asia selepas Taiwan dan Jepun.

Pakar berkata, permainan kuasa Suk Yeol dan usaha pembangkang untuk menarik balik arahan itu sebenarnya menunjukkan kemenangan untuk nilai demokrasi.

Darcie Draudt-Vejares dari Carnegie Endowment for International Peace, berkata, tindak balas pantas ahli Parlimen secara tidak langsung mengukuhkan demokrasi Korea Selatan dengan mengesahkan kawalan awam dan daya tahan institusi Dewan Negara.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya