RIYADH: Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman menandatangani perjanjian kerjasama strategik bagi meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pertahanan, tenaga, kebudayaan dan pergerakan antara rakyat di kedua-dua negara.
Perjanjian tersebut juga bertujuan meredakan konflik di Asia Barat termasuk di Lubnan, serta gesaan diadakan Pilihan Raya Presiden di negara berkenaan.
“Pemimpin itu menyeru agar Pilihan Raya Presiden diadakan di Lubnan dengan tujuan menyatukan rakyat Lubnan dan melaksanakan pembaharuan yang diperlukan untuk kestabilan dan keselamatan negara,” menurut kenyataan dari pejabat Macron.
Pemimpin Perancis tiba di Arab Saudi semalam, bagi lawatan negara selama tiga hari, ketika krisis politik mengancam meruntuhkan pentadbiran Perancis.
Macron bagaimanapun tidak memberikan komen mengenai keadaan politik di Perancis. -AFP