PETALING JAYA: Tindakan provokasi yang berlaku di luar Stadium Rajamangala, Bangkok, selepas perlawanan ketiga Piala ASEAN 2024 antara Malaysia dan Thailand menyaksikan beberapa penyokong Harimau Malaya mengalami kecederaan.
Kira-kira 30 peminat bola sepak Malaysia telah terlibat dalam perbalahan dengan peminat bola sepak Thailand di sekitar Pintu E, Stadium Rajamangala.
Kejadian itu melibatkan penyokong Malaysia yang diserang oleh sekumpulan penyokong Thailand yang dikenali sebagai golongan casual dan hooligans.
Dilaporkan tiga orang penyokong Malaysia cedera dalam serangan ini dan telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Madam Pang memberi jaminan akan memberi rawatan terbaik dan menanggung segala kos perubatan melibatkan penyokong Malaysia yang cedera.
Penyokong Harimau Malaya yang cedera telah dihantar ke Hospital Samitivej Srinakarin bagi menerima rawatan.
“Pegawai bahagian antarabangsa persatuan telah menyediakan segala kemudahan dan menguruskan bayaran rawatan perubatan dengan baik untuk memastikan individu terbabit berasa tenang walaupun berada di negara asing.
“Dalam rawatan tersebut, pihak hospital telah menjalankan imbasan CT (CT Scan) ke atas bahagian kepala bagi mendapatkan keputusan yang lebih terperinci.
“Doktor telah menasihatkan agar individu berkenaan terus ditahan di hospital untuk rawatan lanjut pada malam ini (kelmarin) sementara menunggu konsultasi dengan pakar bedah ortopedik tetapi individu yang cedera telah memilih untuk meneruskan rawatan di tanah air.
“Berhubung dengan insiden selepas perlawanan tersebut, pihak keselamatan dan polis akan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan yang sewajarnya,” tulis Madam Pang dalam hantara di Facebooknya.