NEW YORK: Polis New York menahan seorang lelaki yang disyaki membakar seorang wanita hingga maut ketika mangsa dipercayai sedang tidur di dalam sebuah kereta api bawah tanah di bandar raya ini, pada pagi Ahad.
Mangsa, yang identitinya belum dikenal pasti, sedang duduk tanpa bergerak di dalam kereta api F yang berhenti di Stesen Coney Island-Stillwell Avenue, Brooklyn, kira-kira pukul 7.30 pagi (waktu tempatan) apabila seorang lelaki tiba-tiba menghampirinya dan menggunakan pemetik api untuk membakar pakaian wanita itu.
Menurut kenyataan Jabatan Polis New York (NYPD), tiada interaksi antara kedua-dua individu tersebut sebelum serangan berlaku, dan pihak berkuasa yakin mereka tidak saling mengenali.
Lelaki itu melarikan diri dari kereta api sejurus kejadian, sementara anggota polis yang sedang membuat rondaan di stesen itu segera bergegas ke tempat kejadian.
“Mereka melihat seorang individu di dalam kereta api yang sedang terbakar sepenuhnya,” kata Pesuruhjaya Polis New York, Jessica Tisch dalam sidang akhbar.
Video yang dirakam oleh seorang saksi kejadian menunjukkan seorang lelaki berpakaian jaket hoodie kelabu duduk di bangku di platform stesen, beberapa langkah dari mangsa yang sedang terbakar.
Bagaimanapun, polis menyatakan pegawai yang bertugas pada waktu itu tidak mengesyaki lelaki tersebut sebagai pelaku ketika mereka berusaha menyelamatkan wanita berkenaan.
Anggota polis menggunakan alat pemadam api untuk memadamkan kebakaran, namun wanita tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan kecemasan.
Polis menahan seorang suspek pada hari sama, ketika dia sedang menaiki kereta api bawah tanah.
Identiti suspek bagaimanapun belum didedahkan kepada umum, dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa serta motif serangan tersebut.-AGENSI