Pengumuman PETRA rangsang perkembangan industri tenaga boleh baharu

Pengumuman PETRA rangsang perkembangan industri tenaga boleh baharu

petra
Ir. Guntor Tobeng
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang menambah baik garis panduan pelaksanaan program pemasangan sistem solar di bumbung premis bangunan di bawah program permeteran bersih atau Net Energy Metering (NEM) akan terus merangsang perkembangan industri tenaga boleh baharu di negara ini.

Pihak industri yang menyambut baik cadangan itu berkata, penambahbaikan itu akan membolehkan rakyat yang mahu beralih daripada sumber tenaga konvensional kepada TBB boleh berbuat demikian secara berterusan.

Kata mereka, penambahan kuota sebanyak 150 megawatt (MW) kepada 600 MW hingga pertengahan tahun depan tanpa pihak industri perlu merayu menunjukkan kerajaan proaktif dan serius dalam menyokong peralihan tenaga sekali gus membantu pertumbuhan industri TBB di negara ini.

enegem
Ir. Guntor Tobeng

“Kami di pihak industri berterima kasih kepada PETRA kerana mengumumkan penambahbaikan garis panduan pelaksanaan sistem solar NEM ini.

“Langkah ini penting kerana permintaan orang ramai terhadap penggunaan solar semakin meningkat. Ini boleh dilihat kepada betapa cepatnya kuota NEM Rakyat yang diumumkan kerajaan dilanggan oleh mereka.

“Tahun ini sahaja kerajaan sudah melakukan tiga kali pengumuman penambahan kuota NEM Rakyat, iaitu untuk pemasangan solar panel bagi kegunaan domestik,” kata Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir Guntor Tobeng.

Gading Kencana adalah salah sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan dalam menyediakan TBB di negara ini.

PETRA hari ini mengumumkan penambahbaikan garis panduan pelaksanaan program pemasangan sistem solar di bumbung premis bangunan di bawah Program Net Energy Metering (NEM).

Penambahbaikan ini akan membolehkan lebih banyak ruang bumbung premis bangunan dimanfaatkan untuk pemasangan sistem solar PV

Berikutan itu, kuota di bawah kategori NEM Rakyat akan ditingkatkan sebanyak 150MW lagi kepada 600MW supaya lebih ramai pengguna domestik dapat memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.

Selain itu, kuota di bawah kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditambah sebanyak 300MW kepada 1,700MW bagi menyokong usaha syarikat dan entiti korporat untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pengguna kategori pertanian.

Kesemua kuota di bawah Program NEM ini adalah terbuka untuk permohonan oleh pengguna elektrik yang berminat sehingga 30 Jun 2025 atau sehingga kesemua kuota NEM habis diagihkan, yang mana terdahulu.

Pada masa sama, pemberian rebat pemasangan sistem solar sehingga RM4,000 kepada pengguna domestik dibawah Skim Insentif Solar Untuk Rakyat atau Solar For Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) akan dilanjutkan sehingga 30 April 2025, tertakluk kepada terma dan syarat
kelayakan SolaRIS yang telah ditetapkan.

Menurut Guntor, insentif RM4,000 di bawah SolaRIS itu juga penting bagi menarik minat rakyat beralih kepada penggunaan tenaga dari sumber yang bersih.

Selain itu katanya, NEM Nova yang kini telah diperluaskan kepada sektor pertanian akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri itu menjimatkan kos operasi mereka selain mematuhi keperluan ESG.

“Ini adalah langkah proaktif yang diambil oleh PETRA yang mana saya yakin ia akan melonjakkan lagi industri tenaga boleh baharu di negara kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN