KOTA BHARU: Pemuda Pas Kelantan membuat laporan polis terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming hari ini berkaitan isu sambutan Krismas di premis Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd. Kamal Mohamad berkata, laporan dibua bagi menggesa siasatan dijalankan ke atas Kor Ming kerana didakwa cuba menimbulkan polemik apabila melibatkan kakitangan beragama Islam dan upacara sambutan hari kebesaran agama lain.
“Tindakan melibatkan kakitangan beragama Islam dalam sambutan Krismas adalah bercanggah dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan fatwa dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 24 Disember tahun lepas.
“Jelas menteri (Kor Ming) seolah-olah sengaja tidak tahu undang-undang atau sengaja mahu menimbulkan isu berkaitan sambutan Krismas,” katanya ketika ditemui di luar Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Pengkalan Chepa, di sini hari ini. – UTUSAN