TAIPEI: Polis Taiwan menahan pempengaruh warga Malaysia yang melakukan perjalanan ke negara itu atas dakwaan menjadi keldai wang.
Portal berita Taiwan, ETtoday melaporkan seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan di balai polis Yuanlin di daerah Changhua, 11 Disember lalu.
Pempengaruh yang dikenali sebagai Hu Chang Mun yang pada mulanya dilaporkan hilang, didakwa bekerja sebagai keldai wang untuk sindiket penipuan.
Polis berkata, Chang Mun yang berpakaian sut dan berkaca mata kelihatan terkejut dan bingung semasa dirinya ditahan.
Pihak berkuasa turut merampas wang tunai, telefon bimbit dan bukti lain yang berkaitan semasa penahanan itu.
Chang Mun dilaporkan terlibat dalam penipuan pelaburan yang menyasarkan seorang wanita Taiwan berusia 40 tahun.
Mangsa dikatakan telah ditipu untuk memasuki skim penipuan apabila menyertai ‘platform pelaburan dengan keuntungan terjamin’ melalui media sosial.
Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas mengalami kerugian kewangan yang besar.
Pada 11 Disember lalu, ketika pertemuan ketiga Chang Mun untuk menyerahkan kira-kira RM276,000, polis bertindak campur tangan dan menangkapnya di tempat kejadian.
Pempengaruh itu didakwa melancong ke Taiwan menerusi program kemasukan tanpa visa.
Lelaki itu berkata, dia tidak menyedari dirinya menjadi sebahagian daripada sindiket penipuan kerana dimaklumkan boleh mendapatkan wang semasa dalam perjalanan dengan penginapan percuma dan makanan disediakan.
Polis mendakwa Chang Mun atas tuduhan penipuan, pengubahan wang haram dan pelanggaran undang-undang perbankan selepas disoal siasat.
Dia masih kekal dalam tahanan sementara menunggu siasatan lanjut.-AGENSI