MANILA: Sebuah video pendek yang memaparkan tindakan seorang lelaki kononnya membuang air kecil di atas wajah ibunya sehingga mencetuskan kecaman hebat dalam media sosial, sebenarnya hanyalah lakonan semata-mata.
Video berdurasi 53 saat itu dimuat naik ke laman Instagram dan platform X, sehingga menerima kritikan pedas daripada pengguna media sosial yang mendesak lelaki tersebut segera ditangkap dan dihukum.
Ramai yang mengecam tindakan lelaki berkenaan yang kelihatan berjalan terhuyung-hayang selepas melakukan perbuatannya.
Namun, siasatan mendedahkan video berkenaan sebenarnya adalah lakonan kreatif yang dihasilkan oleh kumpulan pencipta kandungan dari Filipina.
Video asal berdurasi 3 minit 33 saat itu pertama kali dimuat naik pada 7 Jun lalu, oleh akaun Facebook Pochoy – Dabarkads Paolo, yang kini mempunyai lebih 92,000 pengikut.
Dalam hantaran mereka, kumpulan tersebut menjelaskan adegan dalam video itu hanyalah hiburan semata-mata dan tidak melibatkan sebarang bentuk kekerasan.
Walaupun penjelasan diberikan, video itu terus mengundang kritikan, termasuk daripada penonton yang beranggapan kandungan tersebut tidak mendidik dan memberi pengaruh buruk kepada masyarakat, khususnya golongan muda.
Sehingga artikel ini ditulis, hantaran asal telah menerima lebih 13,000 komen yang kebanyakannya mengecam tindakan kumpulan tersebut.
Ramai pengguna turut menyeru agar akaun Pochoy – Dabarkads Paolo dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Meskipun mendapat kecaman meluas, kumpulan itu dilaporkan tetap menghasilkan kandungan dengan konsep dan naratif yang serupa.
Hal ini menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawab sosial pencipta kandungan dalam memastikan mesej yang disampaikan selaras dengan nilai-nilai positif.-AGENSI