TAIPEI: Kementerian Pertahanan Taiwan memberi amaran mengenai ‘kesan serius’ terhadap keselamatan negara selepas pembangkang meluluskan undang-undang yang dijangka menjejaskan perbelanjaan pertahanan.
Kementerian itu berkata, langkah tersebut mungkin memaksa pemotongan perancangan bajet pertahanan sebanyak 28 peratus tahun depan, iaitu sekitar AS$2.45 bilion (RM10.94 bilion), bagi memenuhi keperluan pembiayaan baharu.
“Ia dijangka memberi impak serius kepada pembinaan ketenteraan dan kesediaan tempur pasukan negara.
“Peralatan senjata utama tidak akan diteruskan untuk dinaik taraf dan ia akan menyukarkan pembayaran untuk pembelian barangan mengikut kontrak, yang akan menyebabkan kelewatan atau pembatalan,” kata kementerian.
Minggu lalu, parti pembangkang yang memegang majoriti di Parlimen, meluluskan undang-undang untuk mengalihkan perbelanjaan daripada Kerajaan Pusat ke pihak berkuasa tempatan.
Langkah itu ditentang keras oleh Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah dan ribuan penunjuk perasaan.
Menurut kementerian, belanjawan pertahanan untuk tahun depan menyumbang kira-kira 2.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Taiwan.
Bagaimanapun, pemotongan yang mungkin berlaku menjadikannya di bawah dua peratus, walaupun negara-negara di rantau itu meningkatkan perbelanjaan pertahanan.
“Bagaimanakah kami ingin memujuk rakan antarabangsa untuk membantu pada saat-saat genting, apabila musuh menyerang?,” kata kementerian.
Ogos lalu, Kabinet Taiwan mencadangkan kenaikan perbelanjaan pertahanan sebanyak 7.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan menambah lebih banyak pesawat pejuang dan peluru berpandu untuk memperkukuhkan tindak balas terhadap ancaman Beijing.
China, yang menganggap Taiwan sebagai wilayahnya, meningkatkan tekanan ketenteraan dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk menegaskan dakwaan itu, namun ditolak keras oleh Taipei.– REUTERS