Pemberontak kuasai Damsyik, Bashar al-Assad larikan diri

Pejuang Pembebasan Syria kuasai Damsyik, Bashar al-Assad larikan diri

PRESIDEN Syria, Bashar al-Assad.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK : Presiden Syria, Bashar al-Assad dilaporkan telah meninggalkan ibu negara Damsyik menuju ke destinasi yang tidak diketahui, menurut dua pegawai kanan tentera kepada agensi berita Reuters, semalam.

Ketiadaan Bashar berlaku selepas pemberontak mengumumkan kejayaan memasuki Damsyik tanpa sebarang tanda kehadiran tentera kerajaan.

Ribuan penduduk berhimpun di sebuah dataran utama di Damsyik sambil melambai dan melaungkan slogan kebebasan, menyambut kemenangan pemberontak yang turut membebaskan tahanan dari penjara tentera Sednaya, salah satu pusat tahanan terbesar di pinggir bandar itu.

Beberapa jam sebelum itu, pemberontak mengisytiharkan penguasaan penuh ke atas bandar strategik Homs selepas hanya sehari bertempur, sekali gus menggugat pemerintahan 24 tahun Bashar.

Pasukan pemberontak melepaskan tembakan ke udara sebagai tanda kemenangan, sementara sekumpulan pemuda merobohkan poster Basahr.

Kejatuhan Homs memberi pemberontak kawalan strategik di kawasan tengah Syria, memutuskan laluan Damsyik ke wilayah pantai yang menjadi kubu kuat Bashar serta pangkalan tentera sekutunya, Russia.

Pemimpin kumpulan Hayat Tahrir al-Sham, Abu Mohammed al-Golani menyifatkan penaklukan Homs sebagai saat bersejarah sambil menggesa pejuang tidak mencederakan mereka yang menyerah diri.

Ribuan tahanan turut dibebaskan daripada penjara Homs selepas pasukan keselamatan melarikan diri dengan membakar dokumen mereka.

Penguasaan pemberontak ke atas Homs dan ancaman terhadap Damsyik mencetuskan krisis kepada pemerintahan keluarga Bashar yang telah bertahan selama lima dekad.

Situasi yang berlaku turut membimbangkan beberapa negara serantau. Qatar, Arab Saudi, Jordan, Mesir, Iraq, Iran, Turkiye dan Russia mengeluarkan kenyataan bersama menyeru penyelesaian politik, namun tiada langkah konkrit diambil ketika keadaan di Syria berubah setiap jam.

Pemerintahan Bashar selama ini bergantung kepada sokongan sekutu seperti Russia dan Iran, namun, keutamaan Russia kini tertumpu kepada perang di Ukraine sejak 2022, manakala Hezbollah yang disokong Iran pula terlibat konflik dengan Israel.

Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Donald Trump, pula menyatakan AS tidak sepatutnya campur tangan dalam konflik ini dan membiarkan ia ‘berjalan sendiri’. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya