SEOUL: Pembangkang Korea Selatan memfailkan usul untuk mendakwa Presiden, Yoon Suk Yeol dan mengarahkan beliau meletak jawatan berikutan tindakannya mengisytiharkan dekri undang-undang tentera yang menggemparkan dunia dan membawa beribu-ribu penunjuk perasaan ke jalanan semalam.
Usaha mengejut Suk Yeol untuk menggantung pemerintahan awam buat kali pertama dalam tempoh lebih empat dekad sebelum dibatalkan oleh penggubal undang-undang dalam satu krisis dramatik telah mengheret Korea Selatan ke dalam kegawatan hingga mencemaskan sekutu rapatnya.
Masa depan Suk Yeol sebagai presiden semakin kabur selepas ribuan penunjuk perasaan mula berhimpun sejak awa pagi bagi menggesa beliau meletak jawatan, manakala pegawai penting pasukannya sudah berhenti secara beramai-ramai.
Ahli Parlimen parti pembangkang dilaporkan terpaksa melompat pagar dan bergelut dengan anggota keselamatan ketika awal pagi untuk mengundi menolak undang-undang tersebut sebelum bersidang untuk mendakwa beliau.
“Kami telah mengemukakan usul pemecatan yang disediakan segera. Ia dengan jelas didedahkan kepada seluruh negara bahawa Suk Yeol tidak lagi boleh mentadbir negara secara normal. Beliau patut berundur,” kata Kim Yong-min dari Parti Demokrat (DP) pembangkang.
Mereka masih belum memutuskan tarikh untuk mengundi, tetapi ia boleh dibuat seawal Jumaat ini.
Pembangkang memegang majoriti besar dalam Parlimen yang mempunyai 300 ahli dan hanya memerlukan sedikit sokongan daripada parti presiden untuk mendapatkan majoriti dua pertiga yang diperlukan bagi meluluskan usul itu.
Terdahulu DP berkata, pihaknya akan memfailkan tuduhan pemberontakan terhadap Suk Yeol, menteri pertahanan dan dalam negerinya serta tokoh Utama pasukan keselamatan yang terlibat, termasuk komander undang-undang tentera dan ketua polis.
Malah pemimpin parti pemerintah Suk Yeol sendiri menyifatkan percubaan itu sebagai tragis sambil menyeru mereka yang terlibat bertanggungjawab.
Menurut laporan media, jika beliau meletak jawatan atau didakwa, kerajaan sementara yang diketuai oleh Perdana Menteri, kini Han Duck-soo akan mengambil alih tugasnya sebelum pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari.
“Pembangkang berkemungkinan akan memenangi pilihan raya itu.
“Bukan sahaja mereka mempunyai majoriti dalam badan perundangan, undian mereka juga pasti lebih tinggi daripada yang diterima Suk Yeol,” kata Felo Penyelidik Kanan Asia Timur Laut Asia di badan pemikir The Heritage Foundation, Bruce Klingner.-AFP