SEOUL: Ahli Parlimen Korea Selatan mendesak untuk melakukan pendakwaan terhadap Presiden, Yoon Suk Yeol, awal pagi, hari ini, kerana mengisytiharkan perintah undang-undang tentera sebagai cara menghentikan siasatan jenayah terhadap dirinya dan keluarganya.
Usul itu menyebut Suk Yeol ‘melanggar Perlembagaan dan undang-undang’ dan menuduhnya mengenakan undang-undang tentera untuk mengelak siasatan terhadap dakwaan perbuatan menyalahi undang-undang yang melibatkan dirinya dan keluarganya.
Dalam sesi awal pagi tadi, ahli Parlimen membentangkan usul pemecatan kepada Parlimen.
“Ini adalah jenayah yang tidak boleh dimaafkan, yang tidak boleh, tidak sepatutnya dan tidak akan diampunkan,” kata Ahli Parlimen Kim Seung-won.
Berdasarkan undang-undang Korea Selatan, usul itu mesti diundi antara tempoh 24 hingga 72 jam selepas dibentangkan kepada sidang Parlimen, menurut agensi berita Yonhap.
Ahli Parlimen dari blok pembangkang turut menggesa beliau meletakkan jawatan berikutan tindakannya mengisytiharkan dekri undang-undang tentera yang menggemparkan dunia sehingga membawa beribu-ribu penunjuk perasaan ke jalanan, semalam.
Usaha mengejut Suk Yeol untuk menggantung pemerintahan awam buat kali pertama dalam tempoh lebih empat dekad sebelum dibatalkan oleh penggubal undang-undang dalam satu krisis dramatic, mengheret Korea Selatan ke dalam kegawatan hingga mencemaskan sekutu rapatnya.
Masa depan Suk Yeol sebagai Presiden semakin kabur selepas ribuan penunjuk perasaan mula berhimpun sejak awal pagi semalam, bagi menggesa beliau meletak jawatan, manakala pegawai penting pasukannya sudah berhenti secara beramai-ramai.-AFP