SEOUL: Peguam Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, akan menghadiri perbicaraan pertama Mahkamah Perlembagaan hari ini mengenai semakan pemecatannya oleh Parlimen berikutan pengisytiharan singkat undang-undang tentera, menurut penasihat Suk-yeol.
Suk-yeol menolak permintaan mahkamah untuk menyerahkan dokumen serta panggilan untuk siasatan dalam kes jenayah berbeza mengenai pengisytiharan pada 3 Disember lalu, yang mengundang kritikan dari beberapa anggota partinya.
Seramai dua peguam dalam pasukan undang-undang Suk-yeol dijangka hadir dengan seorang daripadanya adalah bekas Pendakwa Raya dan seorang lagi bekas Jurucakap Mahkamah Perlembagaan.
Kedua-duanya tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Dekri mengejut yang mengisytiharkan undang-undang tentera serta kesan politik yang pantas mengejutkan negara dan pasaran kewangan, mengganggu sekutu utama Amerika Syarikat dan Eropah yang melihat Suk-yeol sebagai rakan teguh dalam usaha global untuk menentang China, Russia dan Korea Utara.
Krisis semakin meruncing minggu ini, apabila parti pembangkang berikrar akan memecat Perdana Menteri, Han Duck-soo yang kini memegang jawatan Presiden sementara, selepas beliau menolak desakan untuk melantik tiga hakim ke Mahkamah Perlembagaan bagi mengisi kekosongan.
Parlimen dijadualkan bersidang pada petang ini dengan Parti Demokratik menyatakan akan membawa usul untuk mengundi bagi memecat Han.
Semalam, Han berkata, melantik hakim tanpa persetujuan bipartisan adalah di luar bidang kuasanya sebagai presiden sementara.
Undian untuk menentukan nasib Han akan diadakan sekitar waktu sama dengan perbicaraan pertama Mahkamah Perlembagaan dalam kes yang akan memutuskan sama ada Yoon dikembalikan semula atau dipecat secara tetap.
Mahkamah mempunyai masa 180 hari untuk membuat keputusan sama ada untuk mengembalikan Suk-yeol atau menyingkirnya dan jika berlaku, Pilihan Raya Presiden baharu akan diadakan dalam tempoh 60 hari.-AGENSI